Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Israel dakwa Iran guna kemudahan Syria hasilkan senjata

Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz berkata pada Isnin (12 Sep) Iran menggunakan lebih 10 kemudahan tentera di Syria untuk menghasilkan peluru berpandu dan senjata canggih, lapor Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
 Menteri Israel dakwa Iran guna kemudahan Syria hasilkan senjata

Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz tiba untuk menghadiri mesyuarat kabinet pertama beberapa hari selepas penggubal undang-undang membubarkan parlimen, di Baitulmakdis, pada 3 Julai 2022. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 13 Sep 2022 08:35AM Dikemas Kini : 13 Sep 2022 08:35AM
BAITULMAKDIS: Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz berkata pada Isnin (12 Sep) Iran menggunakan lebih 10 kemudahan tentera di Syria untuk menghasilkan peluru berpandu dan senjata canggih, lapor Reuters.

Selama beberapa tahun, Israel melancarkan serangan ke atas apa yang disifatkannya sebagai sasaran yang berkaitan Iran di Syria.

Iran dan Syria tidak segera mengulas pada Isnin, namun Damsyik menolak untuk memberikan komen mengenai tuduhan sedemikan pada masa lalu dan Tehran pula menafikan ia membina keupayaan pengeluaran di merata Timur Tengah.

Berucap di satu persidangan di New York, Encik Gantz membentangkan peta yang menurut beliau menunjukkan tapak-tapak ketenteraan Pusat D'Etudes et de Recherches Scientifiques (CERS), sebuah agensi pemerintah Syria, terlibat dalam penghasilan peluru berpandu dan senjata untuk Iran.

"Iran mengubah CERS menjadi kemudahan pengeluaran bagi peluru berpandu serta senjata jitu dengan jarak pertengahan dan jauh, diberikan kepada Hezbollah dan proksi Iran. Dalam kata lain, ia menjadi satu lagi barisan bagi Iran - sebuah kilang untuk senjata canggih dan strategik," kata Encik Gantz.

Serangan yang dikaitkan dengan Israel baru-baru ini diperhebatkan ke atas lapangan terbang Syria untuk mengganggu penggunaan talian bekalan udara yang semakin meningkat oleh Iran bagi menghantar senjata kepada sekutu-sekutunya di Syria dan Lubnan, termasuk Hezbollah, menurut sumber-sumber diplomatik dan perisikan serantau kepada Reuters.

Serangan Israel berulang kali menyasarkan kawasan Masyaf, sebuah zon di daerah barat Hama di mana Encik Gantz berkata kemudahan pengeluaran senjata mengancam Israel dan wilayah tersebut.

Encik Gantz menambah Iran juga sedang berusaha membangunkan industri peluru berpandu dan senjata di Lubnan serta Yaman.

"Jika trend ini tidak dihentikan, dalam tempoh sedekad, akan ada industri Iran yang maju di seluruh rantau ini, yang menghasilkan senjata dan menyebarkan keganasan," katanya.
 
Sumber : Reuters/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa