Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Indonesia berhak tolak cadangan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, kata Rais Yatim

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Indonesia berhak tolak cadangan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, kata Rais Yatim

Dr Rais Yatim. (Gambar: drraisyatim/Instagram)

KUALA LUMPUR:Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim berhak untuk menolak cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, kata Encik Rais Yatim.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata Malaysia berpegang kepada persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Presiden Indonesia Joko Widodo berhubung perkara itu, lapor Malaysiakini.

Menurut Rais, kedua-dua pihak bersetuju untuk sama-sama memperkasakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa serumpun.

"Saya telah meneliti pandangan yang berhormat menteri terbabit dan dia berhak mengeluarkan apa jua pandangan berhubung bahasa Indonesia.

"Namun, kita berpegang teguh kepada apa-apa persetujuan yang dicapai antara perdana menteri kita dengan presiden Indonesia baru-baru ini," katanya kepada Malaysiakini.

Encik Rais mengulas kenyataan Encik Nadiem yang berkata beliau menolak cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, namun tidak menolak agar perkara itu terus dikaji dan dibahaskan.

Menurut laporan Kompas, Encik Nadiem membangkitkan bahasa Indonesia lebih layak dengan mengambil kira faktor sejarah dan linguistik, serta merupakan bahasa terbesar di Asia Tenggara.

Mengulas lanjut, Encik Rais berkata sehingga kini tiada sebarang penafian dibuat dari pihak Presiden Jokowi berhubung cadangan Encik Ismail Sabri.

"Namun, mana-mana pihak di Indonesia boleh mengeluarkan apa-apa pandangan dan kita maklum bahasa Indonesia lebih meluas digunakan kerana di Nusantara ini, bahasa Indonesia digunakan secara rasmi dan tidak rasmi," katanya.

TAKRIFAN BAHASA

Encik Rais turut membangkitkan apa yang dimaksudkan sebagai bahasa Indonesia dan juga bahasa Melayu dengan berkata "dalam bahasa Indonesia terkandung bahasa Melayu".

Justeru itu, ia perlu dilihat daripada dua sudut - iaitu faktor sosio-budaya dan geopolitik berdasarkan sempadan negara, katanya.

"Pertamanya sudut sosio-budaya. Bahasa Melayu semenjak dahulu lagi telah menjadi lingua franca (bahasa penghantar) bagi penduduk Asia Tenggara dan diterima pakai sebagai alat perhubungan, alat pendidikan dan alat dalam perdagangan," katanya.

Katanya lagi, dalam soal ini, cerdik pandai dari kedua-dua negara perlu bersama-sama mengangkat bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di kawasan apa yang dinamakan sebagai Nusantara dan Alam Melayu.

"Ini bererti mana-mana pihak tidak lekas mengeluarkan pendapat politik dan kita lebih berasaskan kepada sosio-budaya yang lebih mantap untuk jangka panjang.

"Sebelum kemerdekaan iaitu 1945 bagi Indonesia dan 1957 bagi Semenanjung Tanah Melayu, bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa rasmi semua pihak," katanya lagi.

PERSAMAAN BAHASA

Pada masa sama, bahasa itu sudah dipengaruhi aspek kedudukan dan kuasa politik serta geopolitik, kata Encik Rais.

"Tentulah bahasa Indonesia dalam Republik Indonesia dan bahasa Melayu di alam Melayu.

"Tetapi saya fikir ia tak harus jadi batu penghalang untuk menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa utama atau kedua di ASEAN," katanya yang pernah menjadi menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan.

Katanya lagi, bahasa Indonesia - yang sememangnya mempunyai penutur lebih ramai berbanding bahasa lain - adalah berasas daripada bahasa Melayu.

"Jadi, bahasa Indonesia boleh dianggap sebagai terbitan jika dilihat dari segi geopolitik tetapi bahasa Melayu adalah jika dilihat dari sosio-budaya. Ini orang tak buat dikotomi (pembahagian).

"Oleh itu, kita jangan begitu cepat buat keputusan dan saya yakin menteri pendidikan Indonesia adalah seorang cendekiawan yang boleh menerima dikotomi ini.

"Sementara bahasa Melayu jangan diketepikan peranannya, kita juga mengiktiraf bahawa bahasa Indonesia sebahagian besarnya adalah bahasa Melayu," katanya lagi seperti dinukil oleh Malaysiakini.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan