Menteri Hal Ehwal Agama M'sia disah pulih sepenuhnya COVID-19
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disahkan pulih sepenuhnya daripada COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disahkan pulih sepenuhnya daripada COVID-19.
Dr Zulkifli dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini (14 Okt) berkata beliau sudahpun dibenarkan keluar dari wad pada petang tadi sepas disahkan positif wabak itu pada 5 Okt lalu.
“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua.
“Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kebangkitan... Segala puji bagi Allah yang mana dengan nikmatnya sempurna segala kebaikan,” kata Dr Zulkifli.
Walau bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatinya supaya berehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini sehingga 27 Okt di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Dr Zulkifli menambah buat masa ini, beliau disaran supaya jangan bertemu sesiapa namun memberitahu pihak yang mahu berhubung dengannya boleh berbuat demikian melalui sidang video sahaja.
“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah... Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya,” tambahnya.
Memandangkan PKPB baru saja bermula, Dr Zulkifli seterusnya berkata tumpuan utamanya buat masa ini adalah untuk menyalurkan bantuan secepat mungkin kepada kelompok sasar khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu pada masa sama berterima kasih kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ahli jemaah menteri dan para ulama dunia yang menghantar pesanan mesej kepada beliau selain menghargai setiap doa dititipkan oleh rakyat Malaysia kepadanya.
“Tidak lupa (terima kasih) kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya.
Selain itu, beliau juga berdoa kepada rakyat Malaysia yang dijangkiti COVID-19 agar segera sembuh dan seterusnya dapat kembali menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta.
“Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan, keberkatan dan keharmonian kepada Malaysiaku yang tercinta…. Moga perpaduan kita rakyat Malaysia terus terpelihara… Sentiasa ingat pepatah lama, ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.