Skip to main content

Dunia

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi lawat Malaysia, adakan perbincangan dengan menteri & wakil persatuan agensi pelancongan Islam SG, Thailand

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi lawat Malaysia, adakan perbincangan dengan menteri & wakil persatuan agensi pelancongan Islam SG, Thailand

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Aug 2024 11:10PM Dikemas Kini : 26 Aug 2024 12:29AM
KUALA LUMPUR: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah akan mengadakan lawatan ke Malaysia dari 26 hingga 28 Ogos untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Arab Saudi dengan Malaysia.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan semasa lawatan itu, Dr. Tawfiq dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Mohd Na'im Mokhtar serta beberapa menteri, pegawai kanan dan pegawai hal ehwal umrah di Malaysia.

Lawatan itu antara lain akan memberikan tumpuan kepada memperbaiki dan menambah baik pengalaman jemaah Malaysia ketika menunaikan umrah.

Menurut kenyataan itu, antara topik yang bakal dibincangkan dalam pertemuan itu ialah kaedah untuk mempermudah prosedur visa, menambah baik aspek sokongan logistik selain meneroka aturan bagi menyesuaikan perkhidmatan agar memenuhi keperluan jemaah termasuk dari segi bahasa dan budaya.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama membangunkan program latihan untuk pengendali umrah dari Malaysia bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

Semasa lawatan berkenaan, Dr. Tawfiq juga dijangka membincangkan mengenai keterhubungan udara di antara bandar utama di Arab Saudi dan Malaysia untuk memudahkan perjalanan para jemaah.

"Lawatan itu menekankan persahabatan erat antara kerajaan Arab Saudi dengan Malaysia selain menyerlahkan komitmen Saudi untuk mengukuhkan hubungan erat dengan negara-negara rakan dari dunia Islam.

"Kunjungan itu juga menjadi mercu tanda dalam memperkukuh perkongsian dan pertukaran idea serta pengalaman antara kedua-dua negara dalam urusan umrah.

Selain itu, lawatan berkenaan turut menggambarkan hubungan erat antara kerajaan Saudi dengan Malaysia yang melangkaui urusan agama, termasuk kerjasama ekonomi, budaya, sosial, dan pendidikan," menurut kenyataan itu.

Lawatan Dr. Tawfiq ke Malaysia sebahagian daripada inisiatif strategik yang diusahakan Kementerian Haji dan Umrah.

Inisiatif itu bertujuan memenuhi pelbagai keperluan jemaah di seluruh dunia, bertukar-tukar amalan terbaik dalam pengurusan umrah serta memanfaatkan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan dan kemudahan menunaikan umrah.

Kunjungan itu juga bertujuan mempertingkatkan kerjasama antarabangsa dalam memperbaiki perkhidmatan umrah dan mempromosikan pertukaran budaya serta meningkatkan pemahaman antara negara-negara Islam.
"Inisiatif itu selaras dengan Visi 2030 Arab Saudi yang menekankan peranan sebagai pusat dunia Islam, memperkukuh hubungan rapat dengan negara-negara Islam, dan mengulangi komitmen berterusan untuk menyokong komuniti Islam global," menurut kenyataan itu.

Semasa di Kuala Lumpur, Dr. Tawfiq juga akan mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan agensi pelancongan Islam Malaysia, Singapura dan Thailand tentang ciri-ciri baru aplikasi bijak Nusuk Saudi.

Ini selain berkongsi perkembangan terkini perjalanan Umrah dan Haji akan datang.
Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita