Menteri Ekonomi Rafizi Ramli letak jawatan dari Kabinet Malaysia
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyerahkan surat peletakan jawatan daripada kabinet berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Encik Rafizi Ramli semasa berkempen di New York Hotel, Johor Bahru, pada 20 Mei 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
- Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyerahkan surat peletakan jawatan daripada kabinet berkuat kuasa 17 Jun 2025.
- Dalam satu kenyataan hari ini (28 Mei), Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau akan menghabiskan baki cuti tahunannya bermula hari ini sehingga 16 Jun 2025.
- Spekulasi mengenai peletakan jawatan Encik Rafizi berlegar selepas sejak Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 yang berlangsung pada 23 Mei lalu.
- Rafizi Ramli gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti itu.
Dalam satu kenyataan hari ini (28 Mei), Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau akan menghabiskan baki cuti tahunannya bermula hari ini sehingga 16 Jun 2025.
Spekulasi mengenai peletakan jawatan Encik Rafizi berlegar selepas sejak Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 yang berlangsung pada 23 Mei lalu, di mana beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti itu.
Mengulas lanjut, Encik Rafizi berkata, kekalahannya dalam Pemilihan PKR bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR untuk menjadi program kerajaan.
"Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baharu yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam Pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
"Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberatkan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepadanya sepanjang tempoh beliau memegang jawatan Menteri Ekonomi.
"Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.
"Saya yakin program-program untuk memperbaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam," kata Encik Rafizi.
Beliau berkata, amanah terakhir sebagai Menteri Ekonomi telah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang seterusnya.
"RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.
"Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri," katanya.
Encik Rafizi turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, pengamal media dan semua pihak berkepentingan yang pernah berurusan sepanjang beliau menjadi Menteri Ekonomi.
"Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh. Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.