Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi tolak jawatan timbalan presiden kedua PKR
Menteri Ekonomi Malaysia yang akan berundur, Rafizi Ramli, yang kalah kepada anak perempuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pemilihan dalaman partinya, menolak tawaran daripada Cik Nurul Izzah Anwar untuk memegang jawatan sebagai timbalan presiden kedua Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Cik Nurul Izzah Anwar (kanan) mengalahkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (kiri) dalam pemilihan dalaman Parti Keadilan Rakyat pada 23 Mei 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Encik Rafizi, yang gagal mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden dalam parti pemerintah itu setelah kalah kepada Cik Nurul Izzah, berkata cadangan untuk mewujudkan jawatan kedua itu dikemukakan semasa satu pertemuan yang dijalankan tiga hari sebelum para perwakilan mengundi dalam pemilihan kepimpinan pusat parti tersebut pada 23 Mei.
“Apabila Nurul Izzah bertemu saya tempoh hari, beliau mencadangkan idea untuk melantik saya sebagai timbalan presiden (bersama beliau), tetapi baik jawatan timbalan presiden atau jawatan presiden sekali pun, saya tidak berminat,” kata Encik Rafizi kepada wartawan semasa satu acara di Ampang pada Ahad (1 Jun), seperti yang dilaporkan The Star.
“Saya sudah nyatakan dari awal bahawa saya tidak akan menerima sebarang jawatan kepimpinan (sekiranya saya kalah). Ini bukan soal memegang jawatan,” katanya, seperti dipetik New Straits Times (NST).
“Ia soal mesej dan perjuangan yang ingin kita bawa ke hadapan.”
Sebelum pengundian dijalankan, Cik Nurul Izzah merupakan calon pilihan utama bagi merebut jawatan timbalan presiden itu setelah memperoleh sokongan lebih separuh daripada 222 bahagian parti. Beliau akhirnya meraih 9,803 undi berbanding 3,866 undi yang diterima Encik Rafizi.
Berikutan kekalahan itu, Encik Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet Encik Anwar pada 28 Mei, diikuti oleh sekutunya, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia.
“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini menandakan bahawa saya tidak lagi memiliki mandat parti untuk menterjemah agenda berpaksikan rakyat PKR kepada dasar kerajaan … Seperti yang diamalkan di negara-negara yang menegakkan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti seharusnya memberi laluan kepada mereka yang menang untuk memainkan peranan dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media ketika itu.
Apabila ditanya media, Cik Nurul Izzah tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan Encik Rafizi bahawa beliau telah membuat tawaran tersebut. Sebaliknya, beliau menyifatkannya sebagai “usaha ikhlas untuk merapatkan jurang dalam parti”, serta memperkukuh nilai-nilai parti selepas pemilihan.
“Saya percaya bahawa hal yang dibincangkan secara peribadi antara sahabat harus dikekalkan antara mereka,” tambah beliau dalam jawapan ringkasnya kepada NST.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.