Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Besar Terengganu mohon maaf 'tiada di sisi rakyat' ketika kemuncak negeri dilanda banjir

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Besar Terengganu mohon maaf 'tiada di sisi rakyat' ketika kemuncak negeri dilanda banjir

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar. (Gambar: Bernama)

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf kepada seluruh rakyat Terengganu kerana berada di luar negara ketika waktu kemuncak negeri itu dilanda gelombang kedua banjir.

Beliau mengaku apa pun penjelasan yang diberikannya tidak akan dapat membetulkan keadaan bahawa beliau tiada di sisi rakyat Terengganu ketika mereka ditimpa kesusahan ekoran bencana alam itu.

“Oleh kerana saya tidak dapat bersama dengan mangsa banjir pada tempoh 18 Disember hingga 21 Disember iaitu waktu yang kritikal (banjir), saya ingin mengambil kesempatan memohon jutaan kemaafan daripada seluruh mangsa dan rakyat Terengganu atas apa yang telah berlaku."

"Saya faham, saya tidak boleh berikan apa jua alasan dan sudah tentu tidak boleh membetulkan keadaan ketiadaan saya di sisi rakyat Terengganu pada waktu sebegini,” katanya sewktu sidang media selepas menghadiri Taklimat Pengurusan Bencana Banjir di Pejabat Daerah Kemaman pada Jumaat (23 Dis).

Rakaman sidang media itu dimuat naik ke laman Facebook miliknya pada Jumaat (23 Dis).

Encik Ahmad Samsuri menjelaskan beliau mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanannya ke luar negara setelah banjir gelombang pertama yang berlaku pada 8 Disember hingga 17 Disember lalu mulai reda.

Namun, tempoh kemuncak banjir gelombang kedua berlaku ketika beliau sudah berada di luar negara.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak sesekali mengabaikan tanggungjawabnya sebagai menteri besar dengan sentiasa memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa dan sering berhubung dengan ketua-ketua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

“Mana-mana yang tidak memerlukan keputusan saya sebagai menteri besar telah diambil perjalanannya oleh semua ketua-ketua agensi terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri setiap hari."

“… dan jika ada yang memerlukan keputusan saya sebagai menteri besar walau ketiadaan saya dalam tempoh 18 Disember hingga 21 Disember itu, ia dapat dilaksana secara terus setelah saya membuat keputusan dalam komunikasi saya dengan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hampir setiap hari,” terang beliau.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan