Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Besar Perlis bertegas tidak direman SPRM; sebaliknya setakat beri keterangan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa pihaknya mengambil keterangan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli kira-kira pukul 10.00 pagi tadi (30 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa pihaknya mengambil keterangan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli kira-kira pukul 10.00 pagi tadi (30 Apr).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan Mohd Shukri berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi tadi.

“Ya, dia (diambil keterangan) di SPRM pukul 10.00 lebih tadi,” jawabnya ringkas.

Ketika disoal sama ada individu atau pemimpin lain yang terlibat dalam kes ini, Encik Azam enggan mengulas lanjut.

Menurut beliau, Mohd Shukri diambil keterangan di ibu pejabat agensi antirasuah itu selepas hadir untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung siasatan yang sedang berlangsung ke atas anak lelakinya.

Tambah Encik Azam, Encik Mohd Shukri disiasat mengikut Seksyen 53(3) Akta SPRM.

Minggu lalu, SPRM menahan anak lelaki Encik Mohd Shukri serta lima yang lain bagi membantu siasatan berkaitan penyerahan dokumen palsu dan tuntutan membabitkan RM600,000 (S$171,033) sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, menurut pentadbir akaun Facebook rasmi menteri besar itu dalam satu catatan sebentar tadi, SPRM tidak menahan reman Encik Mohd Shukri.

"MB tidak direman. Telah dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan," katanya.

Encik Mohd Shukri pula dalam kemas kini terbaharu berkata, beliau selesai memberi keterangan kepada SPRM dan secara tidak langsung menggambarkan tidak ditahan oleh agensi terbabit.

"Penting untuk mencari dan dapatkan berita yang sahih. Jangan jadi penyebar kepada berita palsu. Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Insya-Allah. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda," katanya.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan