Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Besar Perak nafi spekulasi wujud gerakan tumbang kerajaan negeri

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menafikan spekulasi terdapat gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak, malah menegaskan kerajaan negeri kini kuat dan stabil.

Encik Saarani berkata dakwaan Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan ada berjumpa dengan beliau (Razman), sengaja dibuat untuk mewujudkan persepsi kononnya terdapat pergeseran dan ketidakstabilan dalam kerajaan negeri.

Menurut Encik Saarani, persepsi negatif yang sengaja diwujudkan itu boleh menggugat kepercayaan para pelabur, sekali gus mengundang risiko kepada pembangunan negeri.

"Kita sedang bertungkus-lumus untuk menarik seramai mungkin pelabur, membawa sebanyak mungkin pelaburan ke dalam negeri ini dan mereka akan melabur dengan jumlah wang yang begitu besar, berbilion-bilion ringgit. Dia (pelabur) perlukan masa yang panjang untuk melabur dan (mendapat) pulangan semula.

"Perlu ditegaskan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja kuat dan stabil, malah semakin kukuh dengan didorong semangat kebersamaan, sifat bertanggungjawab dan kesungguhan termasuk untuk menjayakan setiap agenda yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030," katanya pada sidang media sebelum bermulanya persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin (22 Mei).

Pada sidang media itu, kesemua ADUN di bawah Kerajaan Perpaduan Perak hadir bersama Saarani, kecuali ADUN Kepayang, Nga Kor Ming kerana kini berada di Jepun dan ADUN Keranji, Koo Haai Yen yang hadir lewat.

Pada Ahad (21 Mei), media melaporkan Encik Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak mendakwa beberapa Ahli DUN (ADUN) kerajaan ada berjumpa dengan beliau ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.

Sementara itu, Encik Saarani berkata beliau menasihatkan semua pihak terutama Encik Razman untuk berpolitik secara bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan polemik yang tidak mendatangkan manfaat kepada negeri.

Beliau berkata Perak baru sahaja menubuhkan kerajaan selama enam bulan dengan setiap pemimpin sedang memberi fokus menguatkan kerajaan selain membuat persiapan bagi meneruskan pelan Perak Sejahtera 2030.

"Saya juga mengajak semua rakan-rakan parti politik termasuk pembangkang untuk bermuhasabah, menyuburkan politik matang dengan memberi idea atau teguran demi kebaikan rakyat dan kemajuan negeri, bukan mencipta persepsi, yang akhirnya mengundang ketidakstabilan," katanya.

Ketika ditanya sama ada laporan polis akan dibuat berikutan kenyataan Razman itu boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat, Saarani berkata: “Tak mustahil kita akhirnya akan membuat laporan polis sebab itu merupakan kenyataan berbaur hasutan."
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan