Menteri Besar Kelantan ucap selamat berhijrah dan semoga berjaya kepada Tok Pa
Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, mengucapkan tahniah kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas, Mustapa Mohamed, selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Jumaat (26 Okt).
Encik Mustapa Mohamed. (Gambar fail: Bernama)
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, mengucapkan tahniah kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas, Mustapa Mohamed, selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Jumaat (26 Okt).
"Selamat berhijrah dan semoga berjaya," kata Encik Ahmad ketika bangun menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Encik Mustapa semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim hari ini (31 Okt).
Sebelum mengemukakan soalan tambahan kepada Encik Ahmad, Encik Mustapa mengucapkan terima kasih kepada Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya'kub kerana meluluskan cuti beliau selama dua hari.
Encik Mustapa sebelum ini tidak menghadiri sidang DUN Kelantan yang bermula pada Isnin (22 Okt).
Beliau turut memohon maaf kepada Encik Ahmad kerana tidak dapat mengikuti ucapan Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada hari pertama persidangan DUN.
"Yang ketiga, terima kasih kepada semua ahli Yang Berhormat kerana memberi nasihat dan teguran sempena penghijrahan saya," katanya.
Selepas Encik Mustapa mengemukakan soalan tambahan, Encik Abdullah bertanya kepada beliau adakah benar ADUN Air Lanas berkenaan sudah berhijrah kepada parti baru.
"Betul," jawab Encik Mustapa dengan ringkas.
Soalan tambahan yang dikemukakan oleh Encik Mustapa termasuk adakah kerajaan negeri mempunyai sasaran untuk mencapai belanjawan seimbang dalam masa terdekat dan apakah sumbangan kerajaan persekutuan bagi memastikan kerajaan negeri dapat meneruskan usaha-usaha berkenaan.
Encik Ahmad, dalam jawapannya, berkata kerajaan negeri mempunyai kesungguhan untuk berbuat demikian selepas defisit yang semakin berkurangan setiap tahun.
"Insya Allah tahun depan, kalau Allah Taala beri rezeki...kalau ada rezeki dari laut (pembayaran royalti) dan Allah Taala naikkan, insya Allah (kita akan capai belanjawan berimbang)," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.