Menteri Besar Kedah nafi beri arahan aduan polis terhadap Ustaz Ebit Lew
Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir pada Sabtu (25 Apr) menafikan dakwaan bahawa beliau yang mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis terhadap tokoh motivasi Ustaz Ebit Lew.
Mukhriz Mahathir. (Gambar fail: Bernama)
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir pada Sabtu (25 Apr) menafikan dakwaan bahawa beliau yang mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis terhadap tokoh motivasi Ustaz Ebit Lew.
Dalam satu kenyataan hari ini, Encik Mukhriz berkata beliau sama sekali tidak mengarahkan pegawainya, pegawai pentadbiran mahupun pegawai politik di mana-mana peringkat sekalipun untuk memfailkan laporan polis terhadap Ustaz Ebit.
"Saya kesal dengan tularan yang meluas di media sosial yang mengaitkan saya dan Pejabat Menteri Besar Kedah dengan tohmahan bahawa Ustaz Ebit telah disoal-siasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman susulan laporan yang difailkan oleh seorang pegawai saya.
"Siasatan dalaman mendapati tidak ada pegawai saya, pentadbiran mahupun politik yang membuat laporan polis termasuk atas keupayaan peribadi,” katanya.
Encik Mukhriz berkata dakwaan serta tohmahan berhubung perkara itu mencemarkan nama dan jawatan yang disandangnya serta pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.
Pada Jumaat (24 Apr), menerusi laman Facebooknya, Ustaz Ebit memaklumkan bahawa beliau tidak lagi akan membantu golongan miskin secara langsung dalam tempoh PKP selepas dipanggil ke Bukit Aman di Kuala Lumpur untuk memberi keterangan.
Tular dalam media sosial dakwaan bahawa beliau telah dipanggil memberi keterangan berhubung kes melibatkan keluarga yang tinggal di sebuah rumah daif di Lorong Gedebang, Jalan Langgar, Alor Setar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.