Menteri Besar Johor puas hati trafik lancar di laluan keluar masuk sempadan negara
(Gambar: Onn Hafiz Ghazi/Facebook)
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berpuas hati dengan kelancaran proses keluar masuk di sempadan darat Johor membabitkan laluan motosikal dan kereta pada pagi Selasa (9 Mei).
Ia menyusuli cadangan formula baru pertukaran syif diumumkan oleh pihak bertanggungjawab untuk mengatasi kesesakan ketika waktu puncak terutama di Tambak Johor, yang merupakan laluan sempadan paling sibuk di dunia dengan lebih 30,000 pelawat setiap hari. Difahamkan formula baru pertukaran syif itu belum dilaksanakan.
Encik Onn Hafiz, yang melakukan pemeriksaan mengejut secara berkala di kaunter Imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah sejak beberapa minggu lepas, juga mahu segera memperbaiki situasi demikian bagi pejalan kaki dan mereka yang menaiki bas.
“Alhamdulillah, laluan motosikal dan kereta semakin baik di BSI dan KSAB. Sekarang kita perlu memperbaiki (laluan) bagi mereka yang berjalan kaki dan menaiki bas.
“Purata waktu menunggu dekat sini (laluan pejalan kaki dan bas) adalah kira-kira 40 minit,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu yang meluangkan masa kira-kira 40 minit di BSI, turut menyiarkan rakaman video selama 13 saat menunjukkan penumpang menunggu dan menaiki bas untuk memasuki Singapura.
Hantaran di Facebooknya itu mendapat 94 komen daripada orang ramai setakat pukul 11.37 pagi, dengan kebanyakannya memuji usaha beliau dan ada mencadangkan untuk menambah baik kemudahan awam seperti tandas serta cara menambah baik bagi mereka yang menaiki bas.
Khamis lalu (4 Mei), Jabatan Imigresen dilaporkan berkata akan melaksanakan formula baru pertukaran syif di pintu keluar masuk laluan darat di BSI dan KSAB bagi memastikan semua kaunter dibuka ketika waktu puncak.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Ruslin Jusoh dilaporkan berkata Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di BSI kekurangan hampir 300 kakitangan lagi bagi melaksanakan pembukaan semua 284 kaunter secara maksimum pada waktu puncak.
Katanya, ketika ini CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan Imigresen berbanding keperluan kakitangan iaitu 1,347 dan akan menempatkan 100 lagi kakitangan baru di CIQ BSI akhir Mei ini menyusuli perekrutan Imigresen bakal tamat latihan pada 20 Mei ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.