Skip to main content

Dunia

Menteri Besar Johor kecewa dengan keadaan tidak teratur di pusat VEP

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi membuat lawatan mengejut ke pusat pengumpulan pendaftaran dan pemasangan tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi para pemilik kenderaan warga Singapura di Danga Bay, Johor Bahru pada Jumaat (27 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Besar Johor kecewa dengan keadaan tidak teratur di pusat VEP

(Gambar: jdt01unite/TikTok)

Diterbitkan : 28 Sep 2024 08:01AM Dikemas Kini : 28 Sep 2024 08:20AM
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi membuat lawatan mengejut ke pusat pengumpulan pendaftaran dan pemasangan tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi para pemilik kenderaan warga Singapura di Danga Bay, Johor Bahru pada Jumaat (27 Sep).

Semasa lawatan itu, beliau menzahirkan rasa kecewa dengan keadaan di hadapan pusat berkenaan selepas para pengunjung terpaksa berbaris panjang tanpa khemah, lapor BH Online.

Dalam rakaman video yang disiarkan melalui akaun TikTok JDTunite01, Encik Onn Hafiz dilihat kecewa dengan situasi tidak teratur di pusat itu.

"Emel tiga bulan (sudah hantar) tetapi tiada maklum balas? Ini pendaftaran dan ia isu utama.

"Tapi apa alasan sampai tiga bulan (tiada maklum balas)... kalau (sistem) rosak, tak rosak pun tak jawab emel.

"Kenapa lambat sangat nak buka khemah? Tak boleh tunggu, ini adalah imej (reputasi) negeri saya," katanya dalam rakaman video berdurasi selama 37 saat itu, lapor BH Online.

Encik Onn Hafiz turut dilihat bertanya kepada orang ramai, termasuk yang menunggu seawal pukul 6.30 pagi serta mendakwa sudah empat kali ke pusat itu tetapi masih tiada penyelesaian.

Semalam, laporan berita di Singapura menyatakan tinggal tiga hari sebelum pelaksanaan VEP bagi kenderaan berdaftar Singapura, namun ramai pemilik kenderaan termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, bimbang tidak mendapat permit itu sebelum tarikh akhir 1 Oktober ini.

Pada 19 September lalu, Ketua Pengarah JPJ, Encik Aedy Fadly Ramli, dilaporkan berkata dua lokasi tambahan bagi memudahkan proses pendaftaran tag RFID VEP di Johor bagi pemilik kenderaan berdaftar Singapura, dijadualkan beroperasi mulai Ahad lalu (22 Sep).

Lokasi berkenaan ialah di Jabatan Pengangkutan Jalan di Taman Daya dan Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Selatan di Larkin yang masing-masing dapat menampung kapasiti 800 dan 400 kenderaan sehari, lapor BH Online.
Sumber : Agensi berita/AT/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita