Menteri Besar Johor ingin bincang HSR, Pedra Branca dengan Mahathir
Menteri Besar Johor Osman Sapian berharap akan dapat bertemu Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat bagi membincangkan isu projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Pedra Branca.
Pulau Pedra Branca. (Gambar fail: Reuters)
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Osman Sapian berharap akan dapat bertemu Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat bagi membincangkan isu projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Pedra Branca.
Menurutnya, beliau sudah mengutus surat rasmi kepada Dr Mahathir berhubung hasrat mengadakan pertemuan itu yang dijangkakan minggu depan, menurut laporan Malaysiakini.
“Saya akan menyatakan pendirian kerajaan negeri berhubung kedua-dua isu ini selepas saya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri nanti."
"Kerajaan negeri juga berharap melalui pertemuan itu, kita dapat penerangan lanjut dan jelas berhubung kedua-dua isu ini daripada perdana menteri kerana ini adalah isu yang sangat rapat dengan kerajaan dan rakyat Johor. Setelah itu baru kita tentukan sama ada mahu diteruskan ataupun tidak.” kata Encik Osman selepas merasmikan mesyuarat perwakilan tahunan ke-20 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Johor, di Johor Bahru pada Selasa (19 Jun).
Menurut laporan Malaysiakini lagi, ketika taklimat kepada media mengenai hasil lawatan kerja ke Jepun baru-baru ini, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak membatalkan projek HSR tetapi menangguhkannya berikutan kerajaan belum mampu melakukannya buat masa masa ini namun tidak menafikan terdapat keperluan untuk kereta api berkelajuan tinggi pada masa depan.
Pada 30 Mei lepas, Dr Mahathir turut menyatakan Malaysia akan menimbang semula untuk mencabar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tentang kes Pedra Branca.
Malaysiakini menambah, ICJ pada 23 Mei 2008 memutuskan kedaulatan Pedra Branca menjadi milik Singapura selepas kedua-dua negara membawa tuntutan mereka terhadap pulau kecil itu kepadanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.