Menteri Besar Johor gesa percepat pelaksanaan projek tebatan banjir
Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah atau melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi menekankan bahawa kerajaan negeri tidak akan mengambil mudah terhadap pihak yang melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor. (Gambar: Bernama)
Menurut Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mempercepat pelaksanaan projek itu bagi mengurangkan risiko banjir berulang yang sering melanda negeri tersebut.
“Saya akan memastikan segala usaha yang dirancang dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan dan keselamatan Bangsa Johor.
“Keadaan banjir di Johor masih membimbangkan. Menurut laporan terkini, sebanyak 1,015 mangsa daripada 299 keluarga telah dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah yang terjejas, iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian,” kata beliau dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya pada Khamis (20 Mac).
Terdahulu, beliau berkesempatan turun padang menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara bersama-sama Pegawai Daerah Johor Bahru Ahmad Nazir Mohd Nasir dan Datuk Bandar Johor Bahru Mohd Haffiz Ahmad, serta meninjau keadaan sungai di kawasan terjejas.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati semua pihak agar berwaspada serta mengikuti arahan pihak berkuasa.
“Hujan masih berterusan … saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di Johor berjalan lancar. Semoga dipermudah segala urusan kita semua,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.