Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Besar baru berdepan 'tugas khas' pulihkan UMNO Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Besar baru berdepan 'tugas khas' pulihkan UMNO Johor

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi. (Gambar: BERNAMA)

JOHOR BAHRU: Polemik pelantikan Menteri Besar Johor ke-19, yang berlaku selepas Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, disifatkan sebagai kejutan dalam landskap politik UMNO Johor.

Kegembiraan pemimpin, jentera dan penyokong UMNO Johor meraikan kemenangan cemerlang memperoleh majoriti dua pertiga seolah-oleh disentap dengan khabar angin, Encik Hasni Mohammad tidak dilantik semula menjadi Menteri Besar seperti laungkan dalam kempen BN, lapor BH Online.

Khabar angin itu tersebar pantas, pada hari kedua pemimpin dan penyokong parti UMNO serta BN meraikan kemenangan mereka, di saat semua pihak menantikan Pengerusi UMNO Johor, Encik Hasni mengangkat sumpah untuk dilantik Menteri Besar Johor ke-19.

Semuanya berlaku dengan pantas dengan keesokan harinya, Encik Onn Hafiz Ghazi, cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Onn Jaafar, dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19 dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira jam 3.00 petang Selasa lalu (15 Mac).

Detik itu menyaksikan hampir kesemua warga UMNO Johor bukan saja terkejut, malah tersebar khabar angin wujudnya gerakan dalam UMNO termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baru menang untuk memboikot Encik Onn Hafiz, seperti dinukil daripada BH Online.

Enggan membiarkan perkara itu menjejaskan kestabilan dan keharmonian parti dan negeri, Encik Hasni yang juga Pengerusi BN Johor bertindak pantas, dengan mengeluarkan kenyataan menyarankan kepimpinan muda dilantik menerajui negeri, sejak khabar angin nama lain juga 'naik' untuk dilantik menjadi Menteri Besar.

Encik Hasni juga tidak mengambil masa lama mengucapkan tahniah kepada Encik Onn Hafiz sebaik ADUN Machap itu mengangkat sumpah, selain menyeru dan mengajak Bangsa Johor bersama-sama membina semula Johor yang lebih makmur.

Beliau juga dilaporkan menyatakan, tiada ideologi, ahli dan parti politik lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada kepentingan dan kemakmuran Johor Darul Ta'zim.

Melihat kepada sikap tenang dan berlapang dada Encik Hasni di sebalik segala polemik melanda itu, ia seharusnya memberi isyarat kepada pemimpin UMNO Johor lain supaya mencontohi sikap berlapang dada dan menerima ketentuan yang terjadi.

Walaupun polemik yang berlaku itu menyentap rasa pemimpin dan penyokong UMNO Johor, segala kekecewaan dan ketidakpuasan hati itu wajar dihapuskan segera apatah lagi hak mutlak melantik Menteri Besar terletak kepada bidang kuasa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Ia termaktub dalam Perkara 3, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895, yang menyatakan bidang kuasa melantik seorang Menteri Besar adalah di bawah peranan Sultan Johor.

Dari sisi lain, Perlembagaan UMNO juga menyatakan dengan jelas asas dan tujuan parti itu ditubuhkan selain 'mendukung asas Perlembagaan Persekutuan termasuk keperluan membela kepentingan Raja-raja Melayu'.

Titik persamaan yang wujud ini sekali gus menuntut UMNO menumpahkan taat kesetiaan kepada raja dan negara bagi menjamin kesepaduan di antara parti serta istana.

Kesetiaan kepada raja dan negara juga menjadi tunjang utama Rukun Negara dan seharusnya UMNO bukan saja mendukungnya malah mempertahannya.

Bermakna, UMNO Johor perlu segera merapatkan semula barisan, hentikan rajuk dan mengatasi kekecewaan yang ada dengan menganggap setiap yang berlaku adalah qada dan qadar ditentukan Allah.

Apatah lagi parti itu perlu mengotakan Ikrar BN yang dijanjikan pada PRN Johor iaitu mahu memastikan kestabilan kerajaan dan negeri, seperti dinukil daripada BH Online.

Rakyat Johor sudah pasti akan memerhatikan dengan dekat segala tindak-tanduk pemimpin dan anggota UMNO Johor selepas ini. Pembangkang pula sudah tentu menunggu peluang untuk mengeruhkan lagi suasana.

Bagi Menteri Besar Johor yang baru, menjadi tugas berat bagi beliau bagaimana hendak memulihkan kembali UMNO Johor yang mungkin sedikit 'terluka' ketika ini.

Ini adalah tugas penting bagi Encik Onn Hafiz menarik sokongan rakan seangkatannya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk terus bersamanya menerajui kerajaan negeri Johor dan menunaikan janji manifesto pilihan raya.

Bermakna, Menteri Besar Johor yang baru ini berdepan 'tugas khas' mencabar, yang menuntut kebijaksanaan dan hikmah bukan saja untuk mentadbir negeri, bahkan menguruskan hubungan dalaman parti. Ia umpama 'menarik rambut di dalam tepung; rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'.

Mungkin, apa yang berlaku ini menjadi ujian sebenar kepada UMNO Johor dan barisan kepemimpinannya susulan kejayaan membentuk semula kerajaan negeri selepas tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Adakah UMNO Johor sanggup 'mematahkan tiang layar' dan menebuk 'bahtera' yang baru saja belayar bersama nakhoda muda serta anak kapal lalu membiarkannya karam di tengah lautan.

Pepatah Melayu ada menyebut 'carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga'. Bersediakah UMNO Johor. Persoalan ini hanya mampu diterjemahkan kepemimpinan UMNO Johor saja.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan