Menteri Besar Aminuddin Harun akui calon PKR berdepan persaingan sengit di Negeri Sembilan
NILAI: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan Aminuddin Harun mengakui beliau dan dua calon baru, yang dipilih untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen negeri berkenaan, berdepan tugas getir dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Encik Aminuddin, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Port Dickson. Beliau menggantikan penyandang Presiden PKR Anwar Ibrahim, manakala setiausaha akhbarnya, Nor Azman Mohamad, bertanding di Kuala Pilah.
Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha, yang dipilih untuk bertanding di Rembau, berkemungkinan berdepan Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan di kerusi Parlimen itu yang kini disandang Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Encik Aminuddin berkata beliau tetap yakin barisan baru calon PKR untuk pilihan raya kali ini mempunyai kekuatan tersendiri bagi memenangi kerusi yang ditandingi.
"Memang getir, kita tahu dalam suasana politik hari ini... saya percaya kita masih ada peluang di tiga-tiga kawasan," katanya kepada Bernama pada Sabtu (29 Okt).
Encik Aminuddin, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri tersebut, berkata gabungan itu mampu mempertahankan lima kerusi Parlimen yang dimenanginya di PRU14 dan beliau optimis PH dapat memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya kali ini.
PH turut menyenaraikan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan Cha Kee Chin, masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Seremban dan Rasah.
Amanah pula akan secara rasmi mengumumkan tiga calonnya untuk PRU15 bagi kerusi Jelebu, Jempol dan Tampin pada Ahad (30 Okt) di Wisma Amanah di ibu negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.