Skip to main content

Dunia

Menteri Agama Indonesia tinjau persiapan ibadah haji; lebih 1,400 pemastautin akan bantu jemaah di Saudi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 May 2022 08:12PM Dikemas Kini : 24 May 2022 10:41PM

JAKARTA: Menteri Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas pulang ke tanah air setelah melakukan lawatan lima hari ke Arab Saudi untuk meninjau persiapan penyelenggaraan haji tahun ini.

Encik Yaqut turut mengumumkan bahawa beliau telah memeriksa semua persiapan untuk para jemaah haji Indonesia, termasuk isu penginapan, pengangkutan, pelayanan dan khidmat kesihatan di Saudi.

Selain para pegawai haji dari Indonesia sendiri, setiap musim haji, warga Indonesia yang berada di Saudi juga diambil bertugas.

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, kuota haji Indonesia melebihi 200,000 jemaah.

Tetapi tahun ini kuota haji Indonesia adalah 45 peratus jumlah sebelum pandemik iaitu sekitar 100,000 jemaah.

Untuk melayani keperluan ratusan ribu jemaah haji Indonesia, 728 pegawai dari Arab Saudi sendiri diperlukan untuk menguruskan para jemaah haji kali ini.

Tahun ini, lebih 1,400 warga Indonesia yang bermastautin di seluruh Arab Saudi, mendaftarkan diri, sejak awal bulan ini untuk berkhidmat kepada para jemaah haji Indonesia.

Buat julung-julung kalinya dalam tempoh dua tahun, proses pemilihan petugas haji Indonesia dijalankan di Saudi.

Para pemohon termasuk para pelajar, mutawif dan tenaga kerja Indonesia yang sedang bertugas di Saudi.

Setiap orang yang mendaftar untuk program ini, perlu menjalani ujian bertulis di Jeddah.

Mereka juga akan ditemuramah oleh para pegawai Indonesia untuk menentukan kesesuaian setiap calon bagi perkhidmatan kepada para jemaah haji Indonesia kali ini.

Setiap petugas haji Indonesia perlu berkhidmat sekitar dua bulan dalam musim haji kali ini dan akan ditempatkan di mana-mana lokasi di Saudi, sepanjang musim haji kali ini.

Tahun ini adalah kali pertama pihak berkuasa Saudi membenarkan warga asing dari luar Saudi mengerjakan haji bersama para penduduk tempatan.

Pada 2020, hanya 1,000 jemaah warga Saudi dan rakyat asing yang tinggal di Saudi dibenarkan menunaikan haji, di tengah-tengah penularan COVID-19 di merata dunia.

Jumlah tersebut dinaikkan kepada 60,000 jemaah haji tahun lalu tetapi bukan untuk mereka dari luar Saudi.

Sumber : Agensi berita/AZ/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita