Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Afghanistan mahu hubungan baik, perlu lebih masa bagi isu pendidikan perempuan

Menteri luar Afghanistan menyeru kepada dunia untuk menjalin hubungan baik pada Isnin (11 Okt) tetapi mengelak daripada membuat komitmen tegas berhubung pendidikan kanak-kanak perempuan meskipun terdapat tuntutan antarabangsa untuk membenarkan semua kanak-kanak Afghanistan kembali ke sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Afghanistan mahu hubungan baik, perlu lebih masa bagi isu pendidikan perempuan

Seorang individu mengibarkan bendera Afghanistan semasa satu tunjuk perasaan di luar ibu pejabat PBB di New York pada 25 Sep 2021. (Gambar: REUTERS/Jeenah Moon)

Diterbitkan : 12 Oct 2021 07:43AM Dikemas Kini : 12 Oct 2021 07:46AM

DOHA: Menteri luar Afghanistan menyeru kepada dunia untuk menjalin hubungan baik pada Isnin (11 Okt) tetapi mengelak daripada membuat komitmen tegas berhubung pendidikan kanak-kanak perempuan meskipun terdapat tuntutan antarabangsa untuk membenarkan semua kanak-kanak Afghanistan kembali ke sekolah.

Hampir dua bulan setelah bekas pemerintah yang disokong Barat runtuh dan Taliban mengambil alih Kabul, pemerintahan Taliban yang baru sedang cuba menjalin hubungan dengan negara-negara lain untuk membantu mengatasi krisis ekonomi yang dahsyat.

"Masyarakat antarabangsa perlu mula bekerjasama dengan kami," kata pemangku Menteri Luar Amir Khan Muttaqi semasa acara yang dianjurkan oleh Institut Pengajian Siswazah Doha. "Dengan ini kita akan dapat melenyapkan rasa tidak selamat dan pada masa yang sama dengan ini kami akan dapat terlibat secara positif dengan dunia."

Namun Taliban sejauh ini enggan berganjak untuk membenarkan gadis-gadis kembali ke sekolah menengah, salah satu tuntutan utama masyarakat antarabangsa setelah keputusan bulan lalu bahawa sekolah-sekolah selepas tingkatan enam hanya akan dibuka semula untuk kanak-kanak lelaki.

Encik Muttaqi berkata, kerajaan Amiriah Islam Taliban mengambil langkah berhati-hati tetapi baru berkuasa selama beberapa minggu dan tidak boleh dijangka dapat menyelesaikan pembaharuan yang belum dapat dilaksanakan oleh masyarakat antarabangsa dalam tempoh 20 tahun.

"Mereka mempunyai banyak sumber kewangan dan mereka mendapat sokongan antarabangsa yang kuat tetapi pada masa yang sama anda meminta kami melakukan semua pembaharuan dalam dua bulan?" katanya.

Pentadbiran baru itu mendapat kritikan berterusan mengenai pendekatannya terhadap pendidikan kanak-kanak perempuan, yang dianggap sebagai salah satu aspek positif terhad yang jelas daripada campur tangan dua dekad Barat di Afghanistan.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata Taliban memungkiri janji untuk menjamin hak untuk wanita dan gadis dan tidak mungkin ekonomi dapat diperbaiki jika wanita dilarang bekerja.

Encik Muttaqi mengulangi gesaan agar Amerika Syarikat menarik balik sekatan ke atas lebih AS$9 bilion (S$12.2 bilion) rizab bank pusat Afghanistan yang berada di luar negara, tetapi mengatakan bahawa pemerintah mempunyai pendapatan sendiri dari cukai, tarif kastam dan pertanian jika dana tetap dibekukan.

Beliau mengatakan bahawa pasukan Taliban mengawal sepenuhnya negara itu dan berupaya mengawal ancaman dari militan ISIS yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan maut dalam beberapa minggu terakhir, termasuk pengeboman minggu lalu di sebuah masjid Syiah di bandar utara Kunduz.

Namun tambahnya, tekanan antarabangsa ke atas pemerintah Taliban membantu meningkatkan semangat ISIS.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan