Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menjelang PRU15: Apa yang diketahui sejauh ini?

Anggaran Waktu Membaca:
 Menjelang PRU15: Apa yang diketahui sejauh ini?

Gambar fail pengundi di Malaysia. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 19 Oct 2022 10:44PM Dikemas Kini : 19 Oct 2022 11:52PM
KUALA LUMPUR: Sedang Malaysia bersiap sedia bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum hujung tahun ini, parti-parti politik sudah mula menyusun strategi dan memilih calon untuk bertanding.

Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran parlimen dalam satu siasaran televisyen pada Isnin (10 Okt), sekali gus membuka laluan bagi pilihan raya kilat.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis (20 Okt) untuk membincangkan dan menetapkan tarikh-tarikh penting bagi PRU15 serta pilihan raya kecil negeri bagi Bugaya di Sabah.

Tarikh-tarikh pencalonan dan untuk keluar mengundi dijangka diumumkan pada Khamis sekitar tengah hari selepas keputusan mesyuarat dimuktamadkan.

Sejak parlimen dibubarkan, hanya negeri-negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) - Perak, Perlis dan Pahang - yang sudah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Ini bermakna pilihan raya bagi kerusi DUN dan Parlimen dilaksanakan serentak.

Parti-parti pembangkang sudahpun menyuarakan keraguan terhadap pilihan raya lebih awal itu, dengan para menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Raja sebelum Dewan Rakyat dibubarkan untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap mengadakan pilihan raya pada musim monsun.

Encik Ismail Sabri bagaimanapun mempertahankan keputusan untuk membubarkan parlimen lebih awal, sambil menjelaskan bahawa ia dilakukan untuk mengelak keadaan tidak harmoni dalam Kabinet.

Dengan para pengamat menyatakan bahawa pilihan raya harus diadakan segera sebelum ketibaan musim monsun, berikut yang kami tahu tentang strategi parti-parti sejauh ini:

BN TIDAK JANGKA MENANG MUDAH

Barisan Nasional (BN) tidak lagi boleh sewenang-wenangnya memperkenalkan sebarang calon dalam pilihan raya dan menjangkakan kemenangan mudah, kata Encik Ismail Sabri, yang juga naib presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Penggubal undang-undang Bera itu berkata tidak seperti dahulu, BN kini perlu bekerja lebih keras dan tidak mampu duduk dalam zon selamat disebabkan keadaan politik yang lebih mencabar sekarang ini.

"Dulu, bila kita bertanding, kita yakin akan menang walaupun kita pertandingkan 'songkok'. Tapi zaman berubah. PRU14 jelas menunjukkan bahawa kita tidak boleh hanya bergantung kepada keyakinan untuk dengan mudah menang undi yang banyak," kata Encik Ismail, seperti dipetik Bernama.

"Tidak seperti dahulu, tiada lagi jaminan bagi kemenangan mudah. Kita sekarang mesti bekerja lebih keras."

Gabungan itu juga menyatakan bahawa ia akan bertanding bagi 191 kerusi parlimen.

Sementara itu, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata pada Rabu (19 Okt) bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ini kerana Bersatu dibentuk untuk menggantikan UMNO dan kerjasama dengan parti itu hanya akan membawa bahaya, kata beliau.

Ia juga dilaporkan bahawa selain UMNO dan parti komponen lain BN, para calon daripada parti-parti yang diiktiraf sebagai rakan BN akan diberi peluang untuk bertanding di bawah gabungan buat pertama kali.

Rakan-rakan BN terdiri daripada Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

Pada Selasa (18 Okt), Encik Ismail Sabri berkata keputusan sama ada BN akan "bergabung" dengan parti-parti lain sekiranya ia tidak berupaya meraih majoriti mudah hanya akan dibuat selepas PRU15.

Encik Ismail Sabri juga berkata pada Isnin bahawa BN menyertai PRU15 bukan semata-mata untuk bertanding tetapi untuk menang undi majoriti.

BN mesti menjadi parti dominan dalam kerajaan baru, kata beliau.

Secara berasingan, ia dilaporkan bahawa Encik Ismail Sabri kekal sebagai calon BN bagi jawatan perdana menteri dalam PRU15.

Terdapat 222 kerusi Dewan Rakyat. Semasa PRU14, BN hilang kuasa yang dipegang selama 61 tahun kepada Pakatan Harapan (PH).

PH DIJANGKA LANCAR MANIFESTO 20 OKT

Hari ini, PH dijadual mengadakan konvensyen di Ipoh, di mana ia dijangka melancarkan manifesto parti gabungannya.

Rabu lalu (12 Okt), Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu parti komponen terbesar PH, menyatakan senarai calon aka dimuktamadkan pada 19 Oktober.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata sebuah jawatankuasa yang dipimpin beliau dan naib presiden parti itu akan membuat keputusan senarai pendek para calon.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pada Selasa (18 Okt) bahawa partinya akan mengumumkan senarai calon bagi PRU15 di setiap negeri secara berperingkat bermula minggu depan.

Minggu lalu, ketua beliau Parti Amanah Negara (Amanah) Mohd Hasbie Muda berkata perikatan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mungkin berlaku semasa PRU15.

DAP dan Amanah merupakan parti komponen PH.

Encik Mohd Hasbie dari Amanah berkata ia peluang tipis untuk MUDA menjadi parti komponen gabungan itu kerana PH memerlukan lebih banyak masa untuk meyakinkan akar umbinya supaya menerima MUDA sebagai rakan setara dalam gabungan tersebut.

MUDA dipimpin oleh Syed Saddiq Abdul Rahman. Bekas anggota Bersatu itu merupakan menteri paling muda Malaysia apabila PH menang pada 2018. Beliau kemudian dipecat oleh Bersatu selepas Langkah Sheraton.

PAS + BERSATU

Dalam gabungan PN, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) nampaknya bekerjasama dengan Bersatu, sementara bersikap terbuka untuk membentuk gabungan menjelang hari mengundi.

Ini selepas rundingan tentang sama ada PAS akan kekal bersama PN atau bergabung dengan UMNO bagi PRU15.

Sementara PAS merupakan sebahagian daripada gabungan PN yang dipimpin Bersatu, parti Islam itu juga mempunyai perikatan politik Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO.

Sehari selepas mengumumkan kerjasama PAS dengan PN, setiausaha agung parti tersebut Takiyuddin Hassan memberitahu wartawan bahawa PAS masih terbuka untuk membentuk gabungan dengan parti-parti politik lain menjelang PRU15.

Menurut laporan Bernama, beliau menolak saranan bahawa PAS sedang akan meninggalkan perikatan MN dengan UMNO apabila ia memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dengan PN.

PN masih belum memutuskan logo yang akan digunakan oleh parti komponennya semasa PRU15.

Menurut Free Malaysia Today, meskipun rakan-rakan gabungan sudah bersetuju untuk berkempen di bawah logo PN, PAS akan berkempen di bawah logonya sendiri di tiga negeri - Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Rakan-rakan gabungan itu termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) and Parti Progresif Sabah (SAPP).

Encik Takiyuddin pada Ahad (16 Okt) berkata keputusan parti itu untuk menggunakan logonya di tiga negeri itu menerima "lampu hijau" daripada para pemimpin PN.

Majlis Tertinggi PN akan bertemu tidak lama lagi untuk memuktamadkan logo kempen.

PN juga dijangka membuat keputusan tentang pengagihan kerusi parlimen dan DUN dalam kalangan parti komponennya menjelang Jumaat ini (21 Okt).

Sebagai strategi untuk menang PRU15, Bersatu dan PAS tidak mengecualikan kemungkinan bertukar kerusi.

PEJUANG: MAHATHIR TERBUKA JADI PM LAGI

Pengerusi parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad berkata beliau terbuka kepada kemungkinan kembali menyandang jawatan perdana menteri (PM) buat kali ketiga.

Ahli politik berusia 97 tahun itu berkata beliau akan mempertimbangkan perkata tersebut jika rakyat mahu beliau menjadi PM dan jika gerakan Gabungan Tanah Air (GTA) menang PRU15. Oleh kerana GTA belum didaftarkan, semua calonnya akan bertanding di bawah bendera Pejuang.

"Saya masih berfungsi, masih boleh bergerak dan bercakap, selain berunding, walaupun saya sudah berusia...Saya masih boleh bekerja dan jika ada permintaan (dilantik jadi PM), bagaimana saya nak tolak?," kata beliau seperti dipetik oleh Straits Times selepas mempengerusikan divisyen Pejuang Langkawi pada Selasa.

Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri keempat Malaysia selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 dan sebagai perdana menteri ketujuh selama 22 bulan antara 2018 dengan 2020.

Awal dari itu, Dr Mahathir berkata Pejuang akan mempertandingkan beliau sebagai ahli parlimen untuk mempertahankan kawasan undinya di Langkawi, Kedah tetapi bukan sebagai calon perdana menteri bagi PRU15.

Secara berasingan, GTA, yang dijangka bertanding bagi sekurang-kurangnya 120 kerusi, akan menyasarkan undi beliau bagi PRU15.

Dr Mahathir menarik perhartian bahawa para pengundi muda mungkin tidak begitu biasa dengan keadaan politik sekarang dan oleh itu memerlukan penjelasan.
 
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan