Skip to main content

Dunia

Mengapa tidak ada vaksin COVID-19 bagi haiwan peliharaan?

Sepanjang setahun lalu, berbilion-bilion dos vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada penduduk seantero dunia, malah juga kepada haiwan di taman haiwan termasuk orangutan, singa dan harimau.

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa tidak ada vaksin COVID-19 bagi haiwan peliharaan?

Gambar hiasan anak-anak kucing (Gambar: Unsplash/The Lucky Neko)

ILLINOIS: Sepanjang setahun lalu, berbilion-bilion dos vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada penduduk seantero dunia, malah juga kepada haiwan di taman haiwan termasuk orangutan, singa dan harimau.

Namun, dua haiwan terkecuali daripada senarai tersebut, iaitu anjing dan kucing peliharaan.

"Saya terima banyak soalan mengenai isu ini," kata seorang doktor haiwan di Universiti Pennsylvania, Dr Elizabeth Lennon. "Adakah akan ada vaksin? Bilakah akan ada vaksin?"

Secara teknikal, vaksin untuk haiwan peliharaan boleh diadakan. Bahkan, beberapa pasukan kajian berkata mereka sudah pun menghasilkan vaksin untuk kucing dan anjing peliharaan. Malah, vaksin yang diberikan kepada haiwan di zoo asalnya direka untuk anjing.

Namun, memberi vaksin kepada haiwan peliharaan bukanlah satu keutamaan, kata pakar. Meskipun anjing dan kucing boleh dijangkiti virus itu, semakin banyak bukti yang menunjukkan bahawa anjing dan kucing jarang jatuh sakit dan kurang atau tidak langsung menyumbang kepada penularan virus itu.

"Setakat ini, tidak ada sebarang kes dirakamkan di mana terdapat anjing atau kucing yang menyebarkan virus itu kepada manusia," kata Dr Lennon.

Namun kemungkinan berlaku satu pandemik haiwan peliharaan mencetuskan minat terhadap penciptaan vaksin haiwan.

Zoetis, sebuah syarikat farmaseutikal veterinar yang berpangkalan di New Jersey, mula mencipta vaksin itu sebaik sahaja ia mendapat tahu tentang kes jangkitan COVID-19 melibatkan seekor anjing Pomeranian di Hong Kong.

"Kami fikir, 'Wow, ia semakin bertambah serius, jadi mari kita mula hasilkan sebuah produk," kata Dr Mahesh Kumar, naib presiden kanan di Zoetis yang memimpin pembangunan vaksin.

Menjelang musim luruh 2020, Zoetis sudah menghasilkan empat calon vaksin, setiap satu mempunyai tindak balas antibodi "berkesan" dalam kucing dan anjing, menurut syarikat itu.

Namun, apabila pembangunan vaksin semakin berkembang, ia semakin jelas bahawa jangkitan dalam kalangan haiwan peliharaan mungkin tidak menimbulkan ancaman serius kepada haiwan mahu pun manusia.

Dalam satu kajian melibatkan 76 ekor haiwan peliharaan yang tinggal bersama individu yang dijangkiti virus COVID-19, 17.6 peratus kucing dan 1.7 peratus anjing juga diuji positif bagi virus tersebut.

Kajian secara konsisten menunjukkan bahawa kucing lebih mudah terdedah kepada jangkitan virus berbanding anjing, mungkin atas sebab-sebab biologi dan tingkah laku.

Dalam kalangan haiwan peliharaan yang dijangkiti, 82.4 peratus tidak mengalami sebarang gejala.

Apabila haiwan peliharaan jatuh sakit, ia lebih cenderung mengalami gejala ringan yang termasuk keletihan, batuk, selesema atau cirit-birit. Haiwan-haiwan ini juga lazimnya pulih sendiri tanpa memerlukan sebarang rawatan, meskipun beberapa kes serius berlaku sekali-sekala.

Tambahan pula, tiada bukti yang menunjukkan bahawa kucing atau anjing boleh menyebarkan virus itu kepada manusia - dan tidak banyak tanda yang menunjukkan haiwan-haiwan itu merebakkan jangkitan kepada haiwan lain.

Kucing liar, misalnya, mungkin tidak mempunyai antibodi terhadap virus itu berbanding kucing peliharaan, sekali gus mencadangkan bahawa haiwan sebahagian besarnya mendapat jangkitan virus daripada manusia, dan bukan dari haiwan lain.

Justeru, faktor-faktor ini meyakinkan pakar bahawa tidak perlu ada vaksin untuk haiwan peliharaan. Pada November 2020, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, yang mengawal selia ubat-ubatan veterinar menyatakan bahawa ia tidak akan menerima sebarang permohonan bagi vaksin untuk kucing atau anjing "kerana data tidak menunjukkan vaksin sedemikian mempunyai nilai berkesan."

Meskipun bukti sejauh ini mencadangkan bahawa virus itu tidak menimbulkan ancaman besar terhadap haiwan peliharaan, terdapat beberapa hal lagi yang masih perlu dikaji, menurut saintis.

Masih belum jelas berapa kerap individu yang dijangkiti COVID-19 menyebarkan virus itu kepada haiwan peliharaan mereka, terutama sekali kerana pegawai tidak menyarankan ujian rutin bagi haiwan peliharaan dan virus itu mungkin mempunyai kesan kesihatan bagi haiwan-haiwan peliharaan yang belum lagi dikenal pasti.

Setakat ini, terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan pemilik untuk menjaga haiwan peliharaan mereka. Mereka yang diuji positif COVID-19 harus mengasingkan diri daripada haiwan peliharaan mereka sebaik mungkin, atau memakai pelitup ketika menguruskan haiwan peliharaan mereka.

"Cara paling baik untuk mengelakkan haiwan peliharaan daripada dijangkiti Sars-CoV-2 adalah dengan mencegah jangkitan itu pada manusia," kata Dr O'Quin. "Jadi harap, ambil vaksin."

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita