Mengapa Ong Beng Seng tidak didakwa serentak dengan Iswaran? Ini penjelasan peguam
Ong Beng Seng (kiri) di satu sidang media pada 11 Mei 2007 dan bekas Menteri Pengangkutan S Iswaran di Mahkamah Negara pada 18 Jan 2024. (Gambar: Reuters, CNA/Gayathiri Chandramohan)
Encik Iswaran dituduh memperoleh barangan bernilai lebih S$384,000 daripada hartawan industri perhotelan Ong Beng Seng, seperti tiket Grand Prix F1 Singapura dan perjalanan berbayar ke Doha. Sebahagian daripadanya dipercayai sebagai ganjaran untuk memajukan kepentingan perniagaan Encik Ong.
Kedua-dua lelaki itu diberkas pada 11 Julai tahun lalu dan disiasat oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).
Menjawab pertanyaan media tentang mengapa Encik Ong belum lagi didakwa, Pejabat Peguam Negara (AGC) menyatakan ia akan memutuskan siasatan terhadapnya dan juga individu-individu lain selepas kes Encik Iswaran selesai - termasuk pembentangan bukti di mahkamah.
Mediacorp mendapatkan pandangan pakar undang-undang dan peguam tentang sebab di sebalik tindakan AGC dan kuasa yang ada pada pihak pendakwa.
BUDI BICARA PENDAKWA RAYA
Para peguam memberitahu Mediacorp bahawa pendakwa boleh memutuskan sama ada untuk mendakwa seseorang, bila untuk mendakwa mereka dan apakah pertuduhan yang akan dikenakan terhadap mereka.
Di bawah Kanun Prosedur Jenayah, Peguam Negara - yang juga berkhidmat sebagai pendakwa raya di Singapura – mempunyai budi bicara ke atas "kawalan dan arahan pendakwaan dan prosiding jenayah".
Ini bermakna pihak pendakwa tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk membawa tuduhan dalam mana-mana tempoh masa tertentu dan boleh memilih untuk berbuat demikian apabila ia bersedia kelak, kata Encik Alexander Woon, pensyarah undang-undang di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) yang mengamalkan bidang guaman di RHTLaw Asia.
Ini perlu kerana siasatan kadangkala mengambil masa yang lama – mungkin bertahun-tahun – terutamanya bagi kes jenayah kolar putih yang rumit, tambah Encik Woon, yang juga mantan timbalan pendakwa raya.
Sungguhpun demikian, beliau menegaskan bahawa pihak pendakwa bertanggungjawab untuk bertindak demi kepentingan awam. Seseorang yang dituduh mesti diberikan proses yang sewajarnya dan didakwa tepat pada masanya, manakala pihak pendakwa pula mesti berbuat demikian untuk "mewajarkan hak mangsa dan menunjukkan kepada orang ramai bahawa keadilan sedang ditegakkan".
“Pihak pendakwa tidak seharusnya menyalahgunakan budi bicaranya untuk alasan taktikal semata-mata,” tambah Encik Woon.
BEBERAPA PERTIMBANGAN
Ia juga bukan perkara luar biasa bagi tertuduh dalam sesuatu kes untuk didakwa pada masa yang berbeza.
Jika pihak pendakwa menahan pertuduhan, mereka boleh bekerjasama dan membantu mensabitkan orang yang telah didakwa, menurut pengarah urusan Farallon Law Nicolas Tang.
Jika kedua-dua penyogok dan penerima rasuah didakwa, mereka tidak mahu menunjukkan kedua-dua pihak bersalah semasa memberi keterangan dalam perbicaraan, kata Encik Tang.
Ini lebih-lebih lagi apabila bukti sahaja tidak mencukupi untuk sabitan kes dan keterangan saksi diperlukan untuk menjelaskan pemberian ganjaran tersebut.
PEMBELAAN TERJEJAS?
Menurut para peguam, biasanya lebih baik untuk peguam bela apabila semua pihak dalam kes rasuah didakwa pada masa yang sama.
Mahkamah akan mempunyai "gambaran lengkap" tentang apa sebenarnya yang berlaku, yang bermakna pihak pembela akan mengetahui apa yang akan dipertikaikan oleh pihak pendakwa dan orang yang dituduh bersama, menurut Prof Madya Mervyn Cheong dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
Encik Tang daripada Farallon berkata "secara umumnya tiada kelebihan" untuk peguam bela jika satu pihak didakwa sebelum yang lain. Mereka yang belum didakwa boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberi keterangan terhadap pihak yang didakwa bagi mengelak pendakwaan terhadap dirinya sendiri, tambahnya.
PENDAKWAAN MUNGKIN BERGANTUNG KEPADA KERJASAMA ONG
Apabila ditanya mengapa AGC belum memutuskan untuk mendakwa Encik Ong sehingga kes Encik Iswaran selesai, Encik Tang berkata pihak pendakwa mungkin mahu menilai sejauh mana kerjasama hartawan itu dengan pihak berkuasa.
Pasukan pendakwa raya dalam kes Encik Iswaran diterajui oleh Ketua Pendakwa Raya Tan Kiat Pheng, manakala Encik Iswaran dibela oleh pasukan yang dipimpin oleh Peguam Kanan Davinder Singh.
Menarik perhatian kepada kenyataan AGC, Encik Tang berkata bahawa salah satu elemen utama yang akan dipertimbangkan oleh AGC ialah bukti yang akan diberikan oleh Encik Ong semasa perbicaraan Encik Iswaran.
Jika pihak pendakwa mendakwa Encik Ong pada masa yang sama dengan Encik Iswaran, peluang untuk mendapatkan kerjasama Encik Ong akan menjadi lebih kecil," katanya.
"Encik Ong kemudian boleh memilih untuk tidak memberikan kerjasama sebelum dan semasa perbicaraan Encik Iswaran memandangkan dia sudahpun didakwa."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.