Mengapa jualan rokok dan kopi melonjak semasa Pilihan Raya Presiden Indonesia?

(Gambar: CNA/Danang Wisanggeni)
SIDOARJO: Meskipun hujung minggu, Cik Rosalina tiada masa untuk berehat kerana masih sibuk menyelia pengeluaran rokok di kilangnya PT Mustika Tembakau Indonesia.
Setiap kali pilihan raya semakin hampir, permintaan bagi rokok akan meningkat.
Cik Rosalina menyaksikan peningkatan kira-kira 10 peratus pada permintaan rokoknya sejak kempen pilihan raya bermula pada November lalu berbanding bulan-bulan biasa.
Apabila bukan musim pilihan raya, dia biasanya menghasilkan kira-kira 400 kotak rokok setiap minggu, tetapi kini kira-kira 500 kotak.
Menurutnya, sekotak rokok mengandungi 500 bungkus rokok.
Setiap kali ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu mengadakan pilihan raya, pemerintah meramalkan ekonomi negara itu juga akan berkembang.
“Sektor yang mendapat impak positif termasuk makanan dan minuman, telekomunikasi, pengangkutan dan pengilangan domestik,” kata Cik Dian Ayu Yustina, ahli ekonomi dengan Bank Mandiri, iaitu bank terbesar di Indonesia.
MENGAPA PERMINTAAN MELONJAK
"Ia menjadi kebiasaan orang Indonesia untuk berkumpul secara beramai-ramai kerana calon-calon pilihan raya mahu mempromosikan agenda masing-masing.
"Dan yang biasanya dihidangkan semasa perhimpunan seperti itu adalah rokok," menurut Adik Dwi Putranto, ketua dewan perniagaan dan perusahaan Jawa Timur.
Barangan lain ialah kopi, tambahnya: “Kerana rokok dihisap sambil minum kopi. Jika anda merokok tetapi tidak minum kopi, rasanya macam tidak kena.”
Pilihan Raya Presiden Indonesia sebelum ini adalah pada 2019.
Semasa musim berkempen, yang bermula dari September 2018 hingga April 2019, pengeluaran rokok secara purata kira-kira 29.6 bilion batang setiap bulan, menurut data daripada agensi kastam dan cukai Indonesia. Agensi itu diletakkan di bawah naungan Kementerian Kewangan Indonesia.
Ia lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, yang mencatatkan 24.36 bilion batang rokok sebulan.
Encik Triyono Prijosoesilo, ketua persatuan industri minuman ringan Indonesia (ASRIM), juga berharap pilihan raya kali ini akan memberi kesan positif kepada industri minuman ringan.
"Dalam pilihan raya sebelum ini, memang ada peningkatan pada hasil penjualan semasa berkempen," katanya, yang tidak dapat memberikan perangkaan yang tepat.
“Dan tahun ini, ia unik kerana akan ada juga pilihan raya tempatan (pada November).
BAGAIMANA IA MENJEJAS EKONOMI
Ketika berucap di taklimat media pada 21 Dis, Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo mendakwa faktor penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Indonesia pada tahun ini ialah Pilihan Raya Presiden dan Parlimen.
Walaupun ekonomi Indonesia berkembang 5.05 peratus pada 2023, beliau meramalkan ekonomi Indonesia tahun ini akan berkembang sehingga 5.5 peratus berbanding setahun lalu.
Timbalan Gabenor Bank Indonesia Aida Budiman berkata pada sidang media yang sama bahawa pilihan raya akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi hasil penggunaan domestik, yang merupakan pemacu utama ekonomi Indonesia.
Beliau menambah bahawa penggunaan domestik bukan sahaja berpunca daripada perbelanjaan isi rumah tetapi juga perbelanjaan pemerintah untuk membiayai keperluan teknikal berkaitan dengan mengadakan pilihan raya, seperti mendapatkan kotak undi dan kenderaan untuk keperluan logistik. Penggunaan isi rumah yang biasa adalah makanan dan minuman.
Sebagai contoh, membeli kotak undi dan kenderaan untuk mengangkut barang-barang logistik. Penggunaan isi rumah yang biasa adalah makanan dan minuman.
"Jika terdapat dua pusingan, mungkin terdapat penambahan sekitar 0.6 peratus pertumbuhan kepada penggunaan isi rumah," katanya.
PERNIAGAAN TINGKATKAN PENGELUARAN
Cik Rosalina, pemilik syarikat rokok Mustika Tembakau Indonesia, berkata semasa pilihan raya sebelum ini, permintaan bagi produknya meningkat sebanyak 30 peratus.
Sementara itu, petani dan pengeluar kopi Tarmuji di Pasuruan, Jawa Timur, juga mendakwa bahawa semasa pilihan raya sebelum ini, kopi buatan tempatan Alas Pinggan menyaksikan peningkatan pada hasil penjualan sehingga 30 peratus daripada biasanya 350 tan setahun.
Encik Tarmuji mengendalikan perusahaan kopi bersaiz kecil bersama petani lain, dan semasa pilihan raya pada 2019, mereka memperolehi kira-kira 7.2 bilion rupiah setahun.
Kali ini, setakat sehingga Januari, mereka menyaksikan peningkatan sebanyak 10 peratus pada hasil penjualan tetapi masih belum dapat mengira berapa banyak keuntungan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.