Skip to main content

Dunia

Mengapa dan bagaimana tsunami terbaru Indonesia berlaku walau tiada gempa?

Tsunami melanda Sumatera selatan dan bahagian hujung Jawa Barat Sabtu lalu, tanpa tanda-tanda awal.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tsunami melanda Sumatera selatan dan bahagian hujung Jawa Barat Sabtu lalu, tanpa tanda-tanda awal. Sejauh ini, besar kemungkinan ia disebabkan letusan gunung berapi Anak Krakatu.

Bagaimana letusan gunung berapi boleh menyebabkan badai tsunami?

Anak Krakatau adalah salah satu daripada beberapa pulau di Selat Sunda. Ia wujud sekitar 1928 daripada peninggalan Gunung Berapi Krakatau yang meledak pada 1883, membunuh kira-kira 36,000 orang.

Agensi Geologi Indonesia mengatakan Anak Krakatau sudah menunjukkan tanda-tanda akan meledak sejak beberapa hari sebelum itu, memuntahkan kepulan asap ke udara.

PUNCA BENCANA TSUNAMI

Besar kemungkinan letusan pada jam 9.00 malam Sabtu lalu (22 Dis) menyebabkan bencana tsunami.

Dipercayai letusan tersebut mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang menghanyutkan sejumlah besar pasir, batu dan kerikil dari lereng gunung berapi ke laut.

Hanya 30 minit kemudian, tsunami membadai kawasan-kawasan tepi pantai. Saksi-saksi menceritakan melihat ombak setinggi 3 meter.

Pakar-pakar mengatakan kejadian tanah runtuh itu menolak keluar sejumlah besar air, menyebabkan ombak besar yang dipanggil tsunami, membadai kawasan pantai.

Air pasang di laut yang berlaku kerana bulan mengambang penuh, juga memburukkan keadaan.

TIADA TANDA-TANDA AWAL UNTUK BERI AMARAN

Apa yang membezakan bencana kali ini dengan tsunami-tsunami masa lalu adalah - tiadanya gegaran atau gempa bumi.

Saksi-saksi juga tidak melihat tanda-tanda awal tsunami akan berlaku seperti garis air yang surut.

Jadi, tiada tanda-tanda ombak kuat akan berlaku dan tiada cara untuk memberi amaran kepada penduduk supaya mencari perlindungan.

Bencana Sabtu lalu berlaku hanya beberapa hari sebelum ulang tahun ke-14 tsunami yang melanda Lautan Hindi membunuh lebih 220,000 orang di 14 negara.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita