Skip to main content

Dunia

Menara KL dibuka semula Sabtu

Anggaran Waktu Membaca:
Menara KL dibuka semula Sabtu

Gambar fail Menara KL.

Diterbitkan : 25 Apr 2025 02:24PM Dikemas Kini : 25 Apr 2025 02:26PM
PUTRAJAYA: Menara Kuala Lumpur (Menara KL) akan dibuka semula kepada kunjungan umum bermula jam 9.00 pagi Sabtu (26 Apr), menurut Kementerian Komunikasi Malaysia.

Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan pada Jumaat (25 Apr) memaklumkan pembukaan semula itu selaras dengan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam menyediakan perkhidmatan serta persekitaran yang kondusif dan selamat kepada pengunjung.

“Ia juga selari dengan komitmen Kerajaan Madani dalam menjamin kesejahteraan para pekerja yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Menerusi pengurusan baharu premis Menara KL diterajui syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), kerajaan itu komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berorientasikan pelanggan.

“(Kerajaan turut komited laksana) penambahbaikan berterusan kepada aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara,” menurut kenyataan itu.

Pada 17 April, Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil berkata Menara KL yang ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyenggaraan serta menyelesaikan isu berkaitan keselamatan akan dibuka semula secepat mungkin selepas dua aspek utama itu diselesaikan oleh pemegang konsesi baharu, LSHSM.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyenggaraan Menara KL diambil alih oleh syarikat LSHSM.

Menurut kenyataan itu, pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di atas tapak Menara KL selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB menerusi surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita