Skip to main content

Dunia

Menara Eiffel ditutup lebih awal akibat gelombang haba

Anggaran Waktu Membaca:
Menara Eiffel ditutup lebih awal akibat gelombang haba

Gambar fail Menara Eiffel di Paris, Perancis. (Gambar hiasan: Ludovic MARIN/AFP)

Diterbitkan : 24 Jun 2026 11:05AM
  • Menara Eiffel dan Muzium Louvre di Paris ditutup lebih awal bermula 23 Jun kerana gelombang haba melanda Perancis.
  • Pihak pengurusan Menara Eiffel, SETE, menegaskan keselamatan kakitangan dan pelawat sebagai keutamaan utama.
  • Pelawat yang terjejas akan menerima bayaran balik tiket secara automatik tanpa perlu membuat permohonan.
  • Meteo-France melaporkan suhu luar biasa tinggi dan mengeluarkan amaran merah serta jingga kepada banyak kawasan di Perancis.
Dijana oleh AI
PARIS: Menara Eiffel di Paris ditutup lebih awal pada Selasa (23 Jun) berikutan ramalan suhu tinggi, menurut notis rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan mercu tanda terkenal itu, lapor Xinhua.

Monumen berkenaan ditutup lebih awal pada pukul 4.00 petang waktu tempatan, dengan kemasukan terakhir dibenarkan pada pukul 12.15 tengah hari, menurut maklumat yang diterbitkan di laman web rasminya.

Pelawat yang mempunyai tiket bagi slot masa bermula 11.30 pagi untuk akses melalui tangga dan 12.00 tengah hari untuk penggunaan lif akan menerima bayaran balik secara automatik.

“Kami terpaksa menyesuaikan operasi dengan keadaan haba melampau. Keutamaan kami adalah keselamatan kakitangan dan pelawat,” menurut syarikat pengendali menara itu, Societe d'Exploitation de la Tour Eiffel (SETE), seperti dipetik oleh akhbar Perancis Le Figaro.

Menyusuli gelombang haba yang sedang melanda negara itu, Muzium Louvre turut mengumumkan bahawa ia akan ditutup lebih awal pada pukul 4.00 petang berbanding waktu operasi biasa sehingga 6.00 petang bagi tempoh 24 hingga 27 Jun.

Perancis kini berdepan gelombang haba yang sangat dahsyat, dengan suhu dijangka kekal pada paras luar biasa tinggi sekurang-kurangnya sehingga Khamis, menurut Meteo-France pada Selasa (24 Jun).

Menurut agensi cuaca itu, suhu di Paris mencecah 36 darjah Celsius pada pukul 4.00 petang Selasa, manakala ibu negara Perancis itu dijangka mencatat suhu setinggi 38 darjah Celsius pada Rabu.

Meteo-France turut memaklumkan yang 54 jabatan di tanah besar Perancis diletakkan di bawah amaran merah gelombang haba, iaitu tahap amaran tertinggi, manakala 35 jabatan lagi di bawah amaran jingga.
Sumber : Bernama/Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita