Menantu Zahid Hamidi bergerak seolah-olah meronta semasa gigi dibedah, walau badan dibius
Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan pergigian tahun lalu, bergerak beberapa kali seolah-olah meronta ketika rawatan mengeluarkan giginya, walaupun dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana dibius seluruh badan.
Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi dikebumikan di tanah perkuburan Sg Ramal, Kajang. (Gambar: Twitter/Ahmad Zahid Hamidi)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini (27 Nov) diberitahu bahawa Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan pergigian tahun lalu, bergerak beberapa kali seolah-olah meronta ketika rawatan mengeluarkan giginya, walaupun dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana dibius seluruh badan.
Dr Arlena Philip Lee, 30, yang ketika kejadian bertugas sebagai doktor gigi di Pusat Pergigian Imperial berkata, menantu timbalan perdana menteri itu mula bergerak ketika beliau menyuntik ubat kebas di bahagian gusi bawah kanan pesakit untuk mencabut gigi bongsunya.
“Saya gunakan ‘local anesthesia’ atau (LA) untuk menyuntik di bahagian gusi bawah dan masa itu pesakit bergerak. Beliau seperti hendak angkat tangan sebelah kiri.
“Pada ketika itu saya lihat ke arah Doktor Ting Teck Chin (iaitu doktor yang memberi perkhidmatan bius terhadap Syed Alman) dan bertanyakan adakah pesakit itu okay, Dr Ting jawab okay. Selepas itu beliau menuju ke arah meja dalam bilik pembedahan dan berikan suntikan pada pesakit di bahagian tangan tempat suntikan intravena (IV),” katanya.
Dr Arlena berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli pada perbicaraan kes pusat pakar pergigian itu yang didakwa berhubung kematian Syed Alman Zain ketika menerima rawatan di premis berkenaan tahun lalu.
Dr Arlena yang merupakan saksi ke-12 pendakwaan adalah doktor yang bertanggungjawab menjalankan pembedahan pergigian untuk mencabut dua batang gigi Syed Alman Zain.
Beliau berkata selepas suntikan itu diberikan, Syed Alman Zain berhenti bergerak dan beliau meneruskan prosedur untuk memotong gusi namun beberapa minit kemudian mangsa bergerak lagi dan mengangkat kedua-dua tangan kanan dan kirinya seolah-olah ingin memegang mukanya.
“Saya menyuruh pembantu jururawat, Noor Azima untuk memegang tangan pesakit dan pada masa tersebut Dr Ting beri suntikan lagi pada pesakit di tempat yang sama. Selepas suntikan diberikan, pesakit berhenti mengangkat tangan, beliau berdengkur seolah-olah sedang tidur,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Arlena berkata kira-kira 15 minit beliau meneruskan prosedur pembedahan, Syed Alman Zain sekali lagi bergerak dengan cuba mengangkat tangan dan kakinya seperti mahu bangun menyebabkan beliau sekali lagi memberhentikan prosedur pembedahan dan ketika itu beliau sudah mencabut separuh gigi bongsu mangsa.
“Saya (sekali lagi) bertanya Dr Ting adakah pesakit okay, beliau berkata okay, anda hanya teruskan. Selepas itu beliau beri suntikan sekali lagi pada bahagian tangan pesakit di tempat yang sama,” katanya yang memberitahu pesakit kemudian berhenti bergerak.
Dr Arlena berkata beliau kemudian meneruskan prosedur pembedahan namun kira-kira 10 minit kemudian Dr Ting mengarahkannya untuk memberhentikan prosedur dan mengatakan “Henti, saya rasa adalah sesuatu yang tidak kena. Boleh anda berhenti?
Saksi itu berkata beliau memberi laluan kepada Dr Ting yang kemudian memeriksa nadi pesakit.
Terdahulu saksi itu memberitahu sebelum memulakan prosedur bius dan pembedahan gigi, beliau sudahpun bertanyakan kepada Syed Alman Zain mengenai nombor telefon kecemasan sekiranya sesuatu kecemasan berlaku.
Dr Arlena berkata kebiasaannya pihak klinik akan memperolehi nombor telefon suami, isteri atau keluarga terdekat pesakit namun berlainan dengan Syed Alman yang memberi nombor rakannya namun tidak memberitahu siapakah nama rakannya itu.
KLINIK PERGIGIAN DIDAKWA 9 TUDUHAN
Pada 12 Ogos 2016, pusat pergigian itu yang diwakili pengarah syarikatnya Dr Wong Yen Ling mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.
Antara pertuduhan itu ialah beliau selaku orang kena saman (OKS), didakwa sebagai pemegang lesen, didapati gagal memastikan Dr Ting Teck Chin iaitu orang yang memberi perkhidmatan anestesia terhadap Syed Alman Zain mempunyai kelayakan anestesiologi.
Klinik itu didakwa sebagai pemegang lesen gagal memastikan individu yang berkhidmat untuk menjalankan prosedur radiologi (orthopantomogram) dan perkhidmatan anestesia secara 'IV Sedation' ke atas Syed Alman Zain mempunyai kelayakan berbuat demikian.
Dakwaan lain terhadap premis tersebut ialah gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa pesakit dengan tidak menyediakan oksigen sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan asas serta gagal mengemukakan kepada PPUM satu salinan semua rekod perubatan Syed Alman Zain semasa beliau dipindahkan ke sana.
Klinik berkenaan turut didakwa gagal menyimpan dan menyenggara suatu daftar kakitangan, memastikan kehendak pelabelan ubat dipatuhi serta tidak mengambil langkah yang cukup untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di klinik yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields,itu antara jam 6.00 petang hingga 9.05 malam, antara 26 Mei hingga 2 Jun 2016. Tujuh pertuduhan dikemukakan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 (S$9,800) hingga RM300,000 (S$98,000) jika sabit kesalahan.
Dua lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 (S$3,300) atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Harmi Thamri bersambung esok (28 Nov).
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.