Skip to main content

Dunia

Menantu Trump, Jared Kushner bincang fasa kedua gencatan senjata Gaza jauh lebih rumit dengan Netanyahu

Pasukan pengantara Amerika Syarikat bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin (10 Nov), dengan perhatian beralih kepada fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza yang jauh lebih rumit dan bagi meleraikan kebuntuan mengenai sekumpulan anggota Hamas yang masih bersembunyi di dalam terowong.
Anggaran Waktu Membaca:
Menantu Trump, Jared Kushner bincang fasa kedua gencatan senjata Gaza jauh lebih rumit dengan Netanyahu
Jared Kushner mendengar ucapan Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, dalam satu sidang media di selatan Israel pada 21 Oktober 2025. (Gambar: Nathan Howard/Pool melalui REUTERS)
BAITULMAKDIS/KAHERAH: Pasukan pengantara Amerika Syarikat bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin (10 Nov), dengan perhatian beralih kepada fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza yang jauh lebih rumit dan bagi meleraikan kebuntuan mengenai sekumpulan anggota Hamas yang masih bersembunyi di dalam terowong.

Pertemuan antara menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner, dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu diadakan sebulan selepas Washington dan negara-negara serantau menggesa Israel dan Hamas untuk berdamai selepas dua tahun berperang.

Sungguhpun demikian, sebarang kemajuan dalam pelan gencatan senjata yang diusahakan oleh Encik Trump bukan sahaja memerlukan kedua-dua pihak bersetuju mengenai isu-isu yang telah menggagalkan usaha perdamaian sebelum ini, tetapi juga untuk meleraikan kebuntuan segera mengenai para anggota Hamas yang terperangkap.

Terdapat sekitar 200 anggota Hamas di dalam terowong di bawah Rafah di zon Gaza yang masih dikawal oleh tentera Israel, dengan Hamas menuntut mereka dibenarkan keluar - sesuatu yang setakat ini ditentang oleh Israel.

Utusan Amerika Steve Witkoff minggu lalu menggambarkan usaha untuk menghuraikan kebuntuan itu dengan memberi laluan selamat kepada para anggota Hamas kembali ke kawasan Gaza yang dikuasai Hamas sebagai ganti untuk melucutkan senjata, dengan langkah itu dianggap sebagai satu ujian terhadap pelan gencatan senjata yang lebih luas.

Sumber Palestin berkata para pengantara telah meningkatkan usaha mereka untuk menyelesaikan pertikaian itu, sambil mempercayai sebarang percubaan bersenjata untuk memaksa mereka menyerah diri boleh membahayakan keseluruhan perjanjian gencatan senjata.

Pejabat Encik Netanyahu mengeluarkan gambar beliau bertemu Encik Kushner pada Isnin (10 Nov). Kedua-duanya dijangka membincangkan isu para anggota Hamas serta langkah selanjutnya dalam gencatan senjata, menurut dua pegawai kanan Israel.

Langkah-langkah tersebut memerlukan persetujuan mengenai badan pemerintah peralihan untuk Gaza tanpa pelibatan Hamas, pembentukan pasukan pengaman antarabangsa, dan penetapan terma-terma pelibatannya, pelucutan senjata Hamas, dan pembinaan semula Gaza.

Setiap elemen tersebut kemungkinan besar akan melibatkan tentangan hebat daripada Hamas atau Israel atau kedua-dua pihak.

Pasukan pengaman antarabangsa mungkin memerlukan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk negara-negara mengambil risiko menempatkan sebarang pasukan di Gaza.

Amiriah Arab Bersatu (UAE) masih belum melihat rangka kerja yang jelas untuk pasukan tersebut dan, dalam keadaan semasa, tidak akan mengambil bahagian, kata seorang pegawai kanan UAE pada Isnin (10 Nov).
Sumber : Agensi berita/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita