Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Memorandum Transformasi Parlimen M'sia diserahkan kepada PM Anwar Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Memorandum Transformasi Parlimen telah diserahkan kepada Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Khamis (29 Dis), selaras dengan komitmen yang dibuat antara kerajaan dan pembangkang pada Februari lalu.

Kenyataan bersama Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan memorandum itu disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul.

“Perdana Menteri menyambut baik usaha tersebut dan memaklumkan kepada kedua-dua Yang Dipertua bahawa penelitian khusus akan dilakukan termasuk pandangan objektif Jemaah Menteri dan pihak berwajib yang lain,” menurut kenyataan itu.

Katanya lagi, Jawatankuasa Transformasi Parlimen yang dipengerusikan Encik Rais sejak setahun lalu menyelesaikan kerja-kerja semakan perundangan ke arah menjadikan Parlimen bebas daripada kepentingan dan kuasa mana-mana pihak termasuk Eksekutif.

"Memorandum itu juga mengesyorkan supaya Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 diperbaharui dan dilunaskan dengan segera supaya konsep Asingan Kuasa benar-benar dilaksanakan dan bersekali menjaga kepentingan penjawat awam yang berkhidmat di bawah Parlimen kini," menurut kenyataan itu.

Selain itu, penyampaian memorandum tersebut menyentuh beberapa pindaan pada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 untuk mengendalikan isu berkaitan kelakuan, kanun etika dan tata disiplin setiap Ahli Parlimen di kedua-dua Dewan.

"Kedua-dua Speaker Parlimen dan Perdana Menteri juga membincangkan tentang potensi menjadikan ‘rasa juang negara’ dalam kalangan peserta Parlimen Belia melalui sebaran dan serapan nilai-nilai Rukun Negara yang kini didapati tiada promosi dalam kalangan masyarakat," menurut kenyataan itu lagi.

Encik Rais turut memaklumkan Encik Anwar akan bertemu pimpinan Dewan Negara dalam tempoh terdekat bagi melunaskan beberapa hal dan isu berkaitan Senat sebagai Dewan Tertinggi Negara.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan