Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Melaka pertimbang wajibkan semula pemakaian pelitup

Anggaran Waktu Membaca:
Melaka pertimbang wajibkan semula pemakaian pelitup

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh (Gambar: Astro AWANI)

MELAKA TENGAH: Melaka bakal menguatkuasakan semula pemakaian pelitup sekiranya penularan kes COVID-19 menunjukkan peningkatan mendadak dalam tempoh dua minggu ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata penguatkuasaan itu akan dilakukan di tempat tertutup serta kawasan tumpuan orang ramai.

“Dengan pertambahan bilangan kes COVID-19 di seluruh dunia, pihak kerajaan negeri Melaka mengambil maklum dan serius mengenai bilangan kes yang bertambah.

“Kami akan memantau dalam tempoh dua minggu ini dan jika penularan kes menunjukkan peningkatan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan semula undang-undang pemakaian pelitup muka di tempat tertutup dan di kawasan orang ramai,” lapor Astro AWANI memetik kata-katanya dalam satu kenyataan pada Selasa (3 Jan). 

Mengulas lanjut ujarnya, beliau turut mensyorkan rakyat di Melaka serta pelancong yang berkunjung ke negeri tersebut untuk sentiasa memakai pelitup  khususnya di kawasan tumpuan pelancong.

“Kepada mereka yang belum menerima suntikan dos penggalak digesa untuk mendapatkannya segera dan pastikan anda bukan penyebar kepada virus ini.

“Sehubungan dengan itu, kami memohon orang ramai sama ada rakyat negeri Melaka mahupun pelancong yang datang ke negeri Melaka untuk memakai pelitup terutama di tempat-tempat yang tertutup dan di tempat orang ramai,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, dua varian COVID-19 utama dalam penularan penyakit itu di China iaitu BA.5.2 dan BF.7 telah dikesan di Malaysia.

Beliau berkata, kedua-dua varian berkenaan dikesan dalam 80 peratus kes COVID-19 di China dan setakat 31 Disember lalu, sebanyak 4,148 kes positif melibatkan BA.5.2 manakala tiga lagi kes adalah BF.7.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan