Melaka jadi negeri persinggahan buat jemaah umrah Indonesia
(Gambar: Agensi berita)
MELAKA: Kerajaan negeri akan menjadikan Melaka sebagai negeri persinggahan bagi jemaah umrah dari Indonesia ke Arab Saudi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan Melaka Muhammad Jailani Khamis berkata menerusi inisiatif itu, warga Indonesia - khususnya yang masuk ke Melaka menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai di Kota Laksamana di Melaka - akan menginap dan berbelanja di negeri itu sebelum ke Kuala Lumpur.
"Setakat ini, kami sudah membuka laluan laut untuk pelancong dari Indonesia menerusi ICQS Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai dan kami juga sedang usahakan untuk membuka semula Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam.
“Ia bukan sahaja meningkatkan kemasukan pelancong tetapi juga memberi manfaat kepada pemain industri pelancongan," katanya kepada wartawan semasa sidang akhbar di Melaka pada Selasa (10 Mei).
Selain itu, beliau berkata subsektor pelancongan kesihatan yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelancong Indonesia juga dilihat semakin pulih selepas pembukaan sempadan Malaysia-Indonesia baru-baru ini.
Beliau menambah dalam usaha memulihkan kembali sektor pelancongan Melaka, Bahagian Promosi Pelancongan negeri juga sedang merangka beberapa pakej pelancongan keluarga pada harga munasabah untuk menarik pelancong dari negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Thailand.
Pengenalan pakej ekonomi itu, jelas beliau, merupakan antara langkah pemulihan terbaik untuk pemain sektor pelancongan kerana ia memberi penekanan pada pilihan dan mutu untuk pelancong berbanding memikirkan keuntungan semata-mata.
Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 200 penggiat pelancongan di Melaka akan dibawa ke Pekanbaru dan Dumai Indonesia bagi perbincangan perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan kerajaan republik tersebut pada hujung bulan ini.
Encik Muhammad Jailani berkata menerusi platform itu, sekurang-kurangnya 180 memorandum persefahaman (MoU) B2B dijangka ditandatangani sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan kedua-dua negara.
"Kita sudah sasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya satu juta pelancong dari Indonesia daripada keseluruhan sasaran pelancong iaitu 5.6 juta pada tahun ini.
“Jadi promosi yang lebih agresif perlu dilakukan agar sasaran itu dapat dicapai dan sektor pelancongan negeri yang terjejas disebabkan penularan COVID-19 dapat dipulihkan segera,” ulasnya.
Selain itu, Encik Muhammad Jailani menambah kerajaan negeri sedang berusaha untuk menjadikan Melaka sebagai tuan rumah penganjuran Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) ke-32 yang akan berlangsung pada tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.