Skip to main content

Dunia

Meghan, Harry namakan anak perempuan sempena nama Ratu Elizabeth, Puteri Diana

Isteri Putera Harry, Meghan Markle selamat melahirkan seorang anak perempuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Meghan, Harry namakan anak perempuan sempena nama Ratu Elizabeth, Puteri Diana

Meghan Markle dan Putera Harry pada 2019. (Gambar: Jeremy Selwyn/REUTERS)

Diterbitkan : 07 Jun 2021 11:35AM Dikemas Kini : 07 Jun 2021 11:39AM

LONDON: Isteri Putera Harry, Meghan Markle selamat melahirkan seorang anak perempuan.

Mereka menamakan cahaya mata kedua mereka itu sempena nama Ratu Elizabeth dan mendiang ibunya Puteri Diana.

Lilibet 'Lili' Diana Mountbatten-Windsor dilahirkan pada Jumaat (4 Jun) di Hospital Santa Barbara Cottage di California dengan Harry turut di samping isterinya.

Anak sulung mereka, Archie dilahirkan pada 2019.

Pilihan nama anak kedua mereka itu adalah sebagai penghormatan kepada Ratu Elizabeth susuli tahun yang mencabar bagi pasangan itu dan keluarga diraja secara keseluruhannya.

Lilibet adalah nama timangan keluarga diraja Britain itu bagi Ratu Elizabeth.

Putera Harry dan isterinya Meghan mendedahkan bahawa nama Lilibet dipilih sebagai tanda penghormatan kepada neneknya, Puteri Diana yang terkorban dalam satu kemalangan di Paris pada 1997.

Lilibet dilahirkan hampir setahun setengah selepas Putera Harry dan Meghan mengumumkan bahawa mereka mahu mengundurkan diri daripada tugas rasmi keluarga diraja lantas menyebabkan krisis keluarga.

Keadaan bertambah keruh pada Mac tahun ini apabila mereka tampil dalam satu wawancara bersama hos Oprah Winfrey di mana mereka mendakwa salah seorang anggota keluarga diraja yang tidak dinamakan membuat kenyataan yang berbaur perkauman dan berkata bahawa rayuan Meghan meminta pertolongan ketika berasa hendak membunuh diri, tidak dihiraukan.

Selepas wawancara itu, Putera Harry sekali lagi mengundang kritikan awam.

Baru bulan lalu, beliau mengongsi tentang trauma kehilangan ibunya dan bagaimana ia diburukkan lagi apabila sebagai seorang budak baru berusia 12 tahun, Putera Harry terpaksa berjalan mengiringi jenazah Puteri Diana, di bawah pemerhatian media seluruh dunia.

Pasangan itu berkata mereka akan mengambil cuti daripada tugas mereka di badan amal Archewell dan memohon orang ramai yang mahu mengirimkan hadiah untuk menyokong atau mengetahui lebih lanjut tentang badan-badan sedemikian yang berusaha mendampingi wanita dan kanak-kanak.

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita