Skip to main content

Dunia

Media Turki mengaku dengar rakaman insiden Khashoggi 'dikerat-kerat'

Wartawan Saudi Jamal Khashoggi diseksa sebelum dikerat-kerat dalam bangunan konsulat Arab di Istanbul, lapor media tempatan yang mendakwa sudah mendengar rakaman audio insiden berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Media Turki mengaku dengar rakaman insiden Khashoggi 'dikerat-kerat'

Pasukan forensik mencari bukti dalam bangunan konsulat Arab Saudi pada 17 Okt. (Gambar: Ozan Kose/AFP)

Diterbitkan : 18 Oct 2018 10:58AM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 11:06AM

ANKARA: Wartawan Saudi Jamal Khashoggi diseksa sebelum dikerat-kerat dalam bangunan konsulat Arab di Istanbul, lapor media tempatan yang mendakwa sudah mendengar rakaman audio insiden berkenaan.

Pembunuh-pembunuh Khashoggi dipercayai menyeksanya semasa disoal siasat di mana jari-jarinya ditetak, menurut agensi berita Yeni Safak.

Akhbar itu melaporkan Encik Khashoggi, penulis Washington Post, kemudian dikerat-kerat.

Encik Khashoggi terus lesap selepas memasuki bangunan konsulat untuk menyerahkan dokumen-dokumen rasmi menjelang hari pernikahannya. Polis Turki percaya beliau dibunuh pasukan khas yang dianggotai 15 pegawai Saudi, namun kerajaan itu menolak dakwaan yang dianggapnya "tidak berasas".

Salah seorang anggota dalam pasukan itu dipercayai adalah Salah Muhammed Al-Tubaigy, seorang leftenan kolonel dalam jabatan forensik Saudi.

The Washington Post sebelum ini menukil pegawai Amerika dan Turki yang tidak dinamakan mendakwa bahawa ada rakaman audio dan video yang membuktikan Encik Khashoggi dibunuh dalam bangunan konsulat itu dan kemudian dikerat-kerat.

Namun, ini kali pertama media Turki melaporkan sudah mendengar rakaman itu.

Satu lagi agensi berita tempatan sebelum ini turut melaporkan jam tangan Apple Encik Khashoggi merakam sesi soal siasatnya serta insiden beliau diseksa dan dibunuh. Namun, para pakar mengatakan bahawa jam tangan itu tidak mungkin merakam kejadian dalam cara yang digambarkan.

Menurut Yeni Safak, konsul Arab Saudi di Istanbul, Mohammed al-Otaibi, kedengaran berkata demikian semasa menyeksanya: "Lakukan ini di luar. Anda akan membuat saya ditimpa masalah."

Dipercayai, seorang individu yang tidak dikenali kemudian memberitahu Encik Otaibi: "Jika anda ingin hidup bila kembali ke Arab Saudi, lebih baik anda diam saja!"

Yeni Safak bagaimanapun tidak mendedahkan bagaimana ia memperolehi rakaman itu mahupun cara rakaman dilakukan.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita