Media Korea Utara kecam latihan bersama Amerika-Korea Selatan sebagai 'ancaman nyata'
Media pemerintah Korea Utara pada Rabu (19 Ogos) mengecam latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Korea Selatan sebagai "ancaman paling jelas dan nyata", namun tidak menyebut tentang arahan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump supaya mengurangkan latihan tersebut.
Beberapa orang askar Amerika Syarikat dan sebuah kenderaan berperisai Stryker kelihatan di sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat berhampiran Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan kedua-dua Korea, di Dongducheon, Korea Selatan, pada 18 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Kim Hong-Ji)
Pada Ahad, Encik Trump mengejutkan sekutu-sekutu Amerika Syarikat di rantau tersebut dengan mengarahkan Pentagon supaya mengurangkan latihan tahunan Ulchi Freedom Shield, hanya sehari sebelum ia dijadualkan bermula.
Beliau menyifatkan latihan tersebut sebagai "tidak wajar dan bersifat bermusuhan", sambil memuji pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan mengkritik Seoul kerana tidak menyokong perang Amerika Syarikat terhadap Iran.
Korea Utara, yang memiliki senjata nuklear, sejak sekian lama membantah latihan tersebut, selain menganggapnya sebagai latihan persiapan untuk menceroboh negara itu.
Komentar oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) yang dikendalikan pemerintah mengulangi pendirian tersebut, dengan menyatakan bahawa latihan berkenaan "menimbulkan ancaman paling jelas dan nyata" terhadap Korea Utara dan "keselamatan serantau".
Komentar itu bertajuk: "Kami Akan Melaksanakan Hak Mempertahankan Diri untuk Menangani Ancaman Ketenteraan daripada Kuasa-Kuasa Bermusuhan Menerusi Tindakan Lebih Telus (We Will Exercise Our Right to Self-defence for Neutralising Military Threat from Hostile Forces through More Transparent Action)."
Ia langsung tidak menyebut arahan Encik Trump mahupun hasrat Presiden Amerika Syarikat itu untuk menyambung semula rundingan dengan Encik Kim.
Encik Trump pada Isnin berkata Encik Kim sudah memberi respons terhadap usahanya untuk kembali berunding, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Amerika Syarikat menempatkan sekitar 28,500 anggota tentera di Korea Selatan bagi memperkukuh pertahanan negara itu, menyusuli Perang Korea yang berlangsung dari 1950 hingga 1953. Perang tersebut berakhir dengan pemeteraian perjanjian gencatan senjata, bukan perjanjian damai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.