Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

McDonald's M'sia ikrar ambil tindakan terhadap pengurus jatuhkan maruah pekerja disleksia

Rangkaian restoran makanan segera McDonald’s Malaysia pada Jumaat (18 Feb) menyatakan pihaknya akan mengambil "tindakan sewajarnya" terhadap seorang pengurus restoran yang menghantar kiriman mesej menjatuhkan maruah kepada pekerja yang mengalami masalah pembelajaran khusus.
 

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Rangkaian restoran makanan segera McDonald’s Malaysia pada Jumaat (18 Feb) menyatakan pihaknya akan mengambil "tindakan sewajarnya" terhadap seorang pengurus restoran yang menghantar kiriman mesej menjatuhkan maruah kepada pekerja yang mengalami masalah pembelajaran khusus.

Ini berlaku selepas tangkap layar mesej kiriman pengurus berkenaan tular di media sosial, yang didedahkan oleh abang pekerja berkenaan, lapor Malaysiakini.

“Merujuk kepada insiden baru-baru ini di sebuah restoran McDonald’s di Seremban, kami telah menjalankan siasatan dalaman segera dan menyeluruh untuk menangani perkara itu.

"Kami dapat mengesahkan tingkah laku pengurus restoran tertentu didapati tidak boleh diterima dan melanggar dasar kami mengenai kepelbagaian dan keterangkuman.

"Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap individu tersebut," Malaysiakini memetik kenyataan syarikat itu.

Awal minggu ini, pengguna Facebook, Muhammad Hanis, memuat naik catatan panjang tentang apa yang didakwanya sebagai layanan buruk oleh pengurus cawangan McDonald’s terhadap adiknya, yang menghidap disleksia.

Menurut beliau, insiden bermula apabila pihak pengurusan restoran meletakkan tugasan adiknya dengan hanya merujuknya melalui nombor kakitangan dan bukan namanya yang sebenar.

Senarai jadual kerja itu juga dihantar pada pukul 1.00 pagi pada 13 Februari, menyatakan adiknya bertugas pada pukul 9.00 pagi yang sama, menyebabkan adiknya terlepas tugasannya.

"Tiba-tiba pukul 10.00 pagi Ahad itu, salah seorang pengurus premis itu bertanya adik aku dalam group WhatsApp, kenapa adik aku tak masuk-masuk kerja lagi sebab kalau ikutkan adik aku perlu masuk pukul 9.00 pagi. Lepas itu, ayah aku tolong WhatsApp dan bagi tahu yang nama adik aku tidak ada dalam jadual.

"Sebab itu tidak datang kerja. Kemudian ayah aku balas yang nama adik aku, Aniq Ashraf, bukan nombor.

"Kemudian lepas balas mesej itu, kita orang semua keluar dan telefon bimbit adik aku tidak ada Internet. Jadi kena tunggu balik rumah baru ada line.

"Bila sampai rumah, aku pun cuba nak ambil tahu pasal adik aku. Kot-kot ada balasan dari pengurus itu. Memandangkan (adik aku) tidak pergi kerja.

"Tak semena-mena ada seorang pengurus itu membalas. Aku gelarkan dia ini Tan Sri - 'Kalau kamu manusia bukan nombor, pastikan lobi aku tak bersepah penyapu dekat luar. Manusia dia dengar cakap, kalau nombor dia tak dengar cakap, dia bodoh sikit'," kongsi Encik Hanis panjang lebar.

Catatan Facebook itu sudahpun dikongsikan lebih 4,500 kali setakat ini.

Sementara itu, dalam catatan terbaru di Facebook, Encik Hanis berkata permohonan maaf sudahpun diterima oleh pihak keluarganya daripada pihak McDonald’s.

"Beberapa isu lain yang terkait juga telahpun diketengahkan dan pihak syarikat telah ambil maklum serta akan melakukan tindakan susulan atas perkara tersebut.

"Maka dengan ini, kes telahpun selesai dan diharap tiada perkara berbangkit akan timbul terhadap golongan-golongan seperti ini khususnya pada masa akan datang," menurut beliau.

Sumber : Agensi berita/FZ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan