Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mcdonald's Malaysia tuntut ganti rugi RM6 juta dari penyokong kempen boikot

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan yang menyokong pemboikotan terhadap jenama antarabangsa utama sebagai tindak balas kepada pencerobohan Israel ke atas Gaza, berdepan tuntutan RM6 juta (S$1.7 juta) atas kerugian yang dialami oleh rangkaian makanan segera McDonalds.

Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR), pemilik francais McDonalds di Malaysia, menuntut jumlah kerugian hasil RM3 juta (S$862,000), pampasan untuk pekerja yang diberhentikan bernilai RM1.5 juta (S$430,000) dan bahan tamat tempoh RM1.5 juta (S$S$430,000).

Plaintif menyatakan bahawa defendan, Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia), menghasut orang ramai supaya membenci jenama McDonald's kerana konflik antara Israel dan Palestin, lapor Malaysiakini.

"Umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia - yang majoritinya beragama Islam - telah memboikot perniagaan defendan kerana ia (didakwa) mempunyai kaitan dengan konflik itu.

“Terdapat juga insiden di mana pekerja plaintif diugut dan diaibkan dalam media sosial,” tulis pernyataan tuntutan GAR.

Sebagai tambahan kepada ganti rugi teladan, plaintif juga memohon injunksi terhadap pengulangan kenyataan fitnah oleh BDS Malaysia dan perintah mahkamah agar BDS Malaysia menarik balik semua kenyataan fitnah.

Menurut Malaysiakini, GAR menyatakan bahawa BDS Malaysia, secara sindiran, sudah membuat kesimpulan bahawa syarikat itu terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai 2.3 juta warga Palestin, bekerjasama dengan Israel atau tenteranya, dan mendapat keuntungan daripada pembunuhan rakyat Palestin.

“Plaintif menegaskan bahawa ia mahupun McDonald's Corporation tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik atau agama di seluruh dunia, termasuk konflik Israel-Palestin.

"Disebabkan penyebaran kenyataan fitnah oleh defendan di laman web, akaun Facebook dan akaun Instagram mereka, reputasi plaintif telah terjejas dan menjadi sasaran kebencian awam," tambah kenyataan tuntutan yang difailkan pada 19 Disember.

GAR menyatakan bahawa mereka sudah mengeluarkan surat tuntutan kepada BDS Malaysia untuk memadamkan kenyataan fitnah pada 10 November dan dalam jawapan pada 12 Disember, BDS Malaysia menegaskan bahawa McDonald's Corporation sudah membenarkan pemegang francaisnya membantu tentera Israel dan kenyataan mereka adalah berdasarkan pada fakta.

Dalam pernyataan tuntutannya, GAR menyatakan syarikat itu 100 peratus dimiliki oleh orang Islam dan 55 peratus daripada pelanggannya juga beragama Islam.

Dalam satu kenyataan, BDS Malaysia menafikan memfitnah GAR, seperti dinukil laporan Malaysiakini.

"Oleh itu kami telah memutuskan untuk membiarkan mahkamah memutuskan perkara itu," kata kumpulan tersebut, sambil menambah butiran lanjut akan didedahkan tidak lama lagi.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan