Skip to main content

Dunia

McDonald's Malaysia sumbang RM1 Juta kepada tabung kemanusiaan Palestin

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia, sebagai sebuah perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam di negara tersebut, sentiasa menyuarakan sokongannya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menderma RM1 juta (S$290,000) kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Azmir Jaafar juga berkata pekerja, restoran makanan segera itu sudah mengambil langkah proaktif dengan mengumpul dana lebih RM100,000 (S$29,000) untuk membantu mereka yang terjejas di Palestin.

“Kami berusaha dengan daya yang termampu dan saya menggalakkan semua orang untuk turut melakukan yang sama. Sebagai orang Islam, tentunya saya juga berasa pilu dan perit terhadap apa yang berlaku di Gaza.

"Saya bersolidariti bersama saudara-saudara kita di Gaza dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Kita semua mempunyai tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu mereka dalam kemampuan tersendiri.

“Bersatu untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza adalah penting tetapi ia tidak sewajarnya berlaku sehingga menyakiti sesama rakyat Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu (1 Jun).

Beliau turut menzahirkan kebimbangan berhubung tindakan vandalisme baru-baru ini ke atas premis restoran itu yang menyasarkan antaranya papan tanda McDonald’s di seluruh negara. Sekali gus mencetuskan tekanan serta keresahan kepada kakitangannya dan masyarakat sekeliling.

Encik Azmir berkata selain vandalisme, beberapa tindakan agresif terhadap pekerja dan pelanggan restoran itu amat membimbangkan.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai agar tidak melakukan apa-apa tindakan yang merosakkan harta-benda.

“Kita semua adalah rakyat Malaysia, justeru tingkah laku sebegini amat menyedihkan dan tidak positif. Keselamatan pekerja kami, yang juga rakyat Malaysia, adalah keutamaan yang terpenting untuk kami.

"Tindakan vandalisme dan keganasan tidak akan membawa apa-apa manfaat malah lebih buruk padahnya. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memperjuangkan Palestin ini dengan daya upaya yang termampu dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan mereka dengan cara yang bertanggungjawab.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita