Skip to main content

Dunia

MCA minta kerajaan Malaysia teliti semula garis panduan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam

Ahli Parlimen Persatuan Cina Malaysia (MCA) meminta kerajaan supaya meneliti semula garis panduan khusus berkaitan pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
MCA minta kerajaan Malaysia teliti semula garis panduan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam

Ahli Parlimen Ayer Hitam Dr Wee Ka Siong pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 6 Februari 2025. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 07 Feb 2025 12:02AM Dikemas Kini : 07 Feb 2025 12:05AM
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Persatuan Cina Malaysia (MCA) meminta kerajaan supaya meneliti semula garis panduan khusus berkaitan pembabitan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Itam) yang juga Presiden MCA mempersoal garis panduan berkenaan yang disifatkan boleh mengundang situasi bercampur baur khususnya bagi orang Islam yang mempunyai ahli keluarga daripada agama selain Islam, menurut laporan BH Online.

Justeru, beliau berharap kandungan panduan tersebut sebelum diterbitkan nanti lebih jelas selain menjamin dan menjaga keharmonian antara kaum.

"Saya nak ingatkan, mungkin ramai masih ingat Tahun Baharu Cina ini adalah satu upacara keagamaan. Sebenarnya ia adalah kebudayaan.

"Jadi ia tergolong dalam mana? JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) atau Kementerian Kebudayaan (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya)?

"Macam Tahun Baharu Cina hari ini adalah hari perayaan orang Hokkien. Semalam, jika diajak kawan-kawan Melayu datang rumah, kita sudah letak tempat sembahyang tetapi kita tak minta orang Islam pergi sembahyang. Ia adalah acara kebudayaan sahaja.

"Bagaimana kita buat satu garis panduan dengan jelas dan yang penting keharmonian kaum terjaga kerana kita dalam masyarakat majmuk. Kita kena jaga keharmonian masyarakat dan kaum.

"Jadi saya minta kerajaan supaya sama ada perkara ini dibincangkan dalam Kabinet, diperhalusi di Kabinet dahulu baru kita bincang. Kalau tidak macam-macam reaksi kalau pergi menghadiri upacara persemadian kerana perlu dapatkan kelulusan daripada JAKIM?

"Kalau saudara saya meninggal dunia dan saya ada saudara Islam. Dia datang terus masuk, peluk kita sebab kita satu keluarga. Bagaimana kita nak bezakan? Perspektif lain-lain," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis (6 Feb), seperti dinukil BH Online.

Pada Rabu (5 Feb) BH Online melaporkan JAKIM sedang memuktamadkan garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

Dalam jawapan bertulis yang dimuat naik ke laman web Parlimen Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata garis panduan itu akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 27 Februari ini.

Garis panduan itu akan diperkenalkan supaya penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Ia mencakupi hal menyentuh ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agama, persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita