Skip to main content

Dunia

MB Johor tegas tiada kasino dibuka di Forest City

Anggaran Waktu Membaca:
MB Johor tegas tiada kasino dibuka di Forest City

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi. (Gambar: @onnhafiz/Instagram)

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri itu, sebagaimana berita yang tular, baru-baru ini.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata berita berkenaan, hanyalah khabar angin yang dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemarkan imej Forest City dan negeri Johor secara keseluruhannya.

Beliau berkata seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, kerajaan negeri Johor yakin bahawa Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak, dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Selain itu, kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan sedang giat berusaha untuk merancakkan dan mempertingkatkan ekonomi Johor, agar memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor.

“Dari segi sejarah pula, jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup,” katanya dalam catatan di laman Facebook rasmi miliknya pada Jumaat (26 Apr).

Encik Onn Hafiz berkata Sultan Ibrahim juga berkata bahawa beliau tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor, dan itu jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata kerajaan negeri Johor tidak pernah menerima jemputan bagi sebarang perbincangan berhubung perkara tersebut, apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya.

“Kerajaan negeri juga tidak menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara yang sama.

“Diharapkan dengan penegasan ini, isu ini tidak lagi dipanjang-panjangkan dan dimomokkan sehingga menjejaskan kerukunan dan nama baik negeri.

“Selain itu ia diharap dapat menjamin keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita