Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mayat warga emas sudah reput ditemui dalam timbunan kotak tisu

Anggaran Waktu Membaca:
PADAWAN: Mayat seorang wanita warga Kanada yang sudah mereput dan berbau ditemui di sebuah unit kediaman pangsapuri di Jalan Matang, di Padawan pada Selasa (13 Dis).

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata penemuan mayat warga emas itu dilaporkan seorang wanita tempatan yang memaklumkan terhidu bau busuk di tingkat bawah unit kediamannya kira-kira pukul 4.00 petang pada Selasa, seperti dinukil daripada BH Online.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Batu Kawa digerakkan ke lokasi dan terpaksa mengumpil pintu depan rumah terbabit yang berkunci dari dalam.

"Sebaik saja pintu depan itu dibuka, pasukan mendapati ada timbunan kotak tisu di dalam rumah berkenaan. Mayat wanita itu ditemui terbaring dalam timbunan kotak tisu yang berselerak.

"Ketika ditemui, mayat si mati sudah berulat dan bahagian muka berkeadaan tidak sempurna," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Berdasarkan maklumat daripada pengadu di lokasi kejadian, Encik Abang Zainal Abidin berkata, wanita itu tinggal berseorangan dan dipercayai menghuni rumah itu sejak kira-kira sepuluh tahun lalu, lapor BH Online.

Beliau berkata, pasukan turut menjumpai pasport wanita itu yang dikenali sebagai Tan Onn Har, 82 tahun, dengan taraf kewarganegaraan dari Kanada.

"Pasukan perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang ke lokasi mengesahkan kematian mangsa.

Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang tanda jenayah mahupun objek tajam atau tumpul ditemui di tempat kejadian," katanya.

Seterusnya, Encik Abang Zainal Abidin berkata, mayat dihantar ke bilik mayat HUS untuk tindakan lanjut.

Justeru, beliau berkata, usaha mengesan ahli keluarga mangsa sedang dilakukan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai insiden itu diminta tampil membantu siasatan polis.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan