Skip to main content

Dunia

Mayat warga asing dijumpai terapung di sungai Plentong dilaporkan wanita S'pura 64 tahun

Mayat wanita dipercayai warga asing ditemukan terapung di Sungai Plentong, Jalan Masjid, Kampung Plentong Baru, Masai, di Johor Bahru pada pagi Rabu (2 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Mayat warga asing dijumpai terapung di sungai Plentong dilaporkan wanita S'pura 64 tahun

Pemandangan Sungai Plentong di Johor Bahru. (Gambar: Google Maps Street View)

Diterbitkan : 03 Feb 2022 11:15AM Dikemas Kini : 03 Feb 2022 01:08PM

JOHOR BAHRU: Mayat wanita dipercayai warga asing ditemukan terapung di Sungai Plentong, Jalan Masjid, Kampung Plentong Baru, Masai, di Johor Bahru pada pagi Rabu (2 Feb).

China Press melaporkan wanita berkenaan adalah seorang rakyat Singapura yang berkahwin dengan seorang lelaki warga Malaysia. Beliau berpindah ke Johor Bahru pada Ogos tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat berusia 64 tahun itu daripada orang awam kira-kira pukul 10.45 pagi. 

“Polis turut mengesan seorang wanita tempatan berumur 33 tahun yang telah membuat laporan orang hilang dipercayai waris warga emas itu kerana mengecam pakaian yang dipakai oleh si mati,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.  

Menurut beliau, wanita tempatan itu juga sebelum ini dipercayai tinggal bersama dengan si mati.

Wanita berusia 64 tahun itu dilaporkan meninggalkan rumah pada sebelah pagi 31 Januari tanpa membawa telefon bimbit, dompet, pasport mahupun kad pengenalan Singapuranya.

Encik Mohd Sohaimi berkata mayat warga asing itu telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru untuk proses bedah siasat.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan dan di peringkat ini, kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar menerusi kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menerima panggilan bantuan mengangkat mayat daripada pihak polis pada pukul 12.11 tengah hari.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seorang mangsa wanita dewasa berada di permukaan sungai dengan jarak 10 meter dari tebing sungai seperti yang dinyatakan oleh pihak polis. 

“Mangsa telah meninggal dunia setelah disahkan pihak petugas kesihatan di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada pukul 2.45 petang.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita