Mayat remaja lelaki yang jatuh dalam lombong ditemui
Mayat remaja lelaki yang lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana di Puchong pada malam semalam (3 Okt), akhirnya ditemui pada pukul 5.45 petang tadi (4 Okt).

Mayat remaja yang lemas di lombong Puchong ditemui pada 4 Oktober. (Gambar: Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia/Facebook)
SHAH ALAM: Mayat remaja lelaki yang lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana di Puchong pada malam semalam (3 Okt), akhirnya ditemui pada pukul 5.45 petang tadi (4 Okt).
Ketua Polis Daerah Sepang ACP, Abdul Aziz Ali berkata, mayat Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17 tahun, ditemui terapung-apung 800 meter dari tempat kejadian.
“Mayat remaja itu ditemui oleh anggota bomba yang membuat pemeriksaan di kawasan itu.
“Ahli keluarga mangsa juga telah dimaklumkan mengenai penemuan itu dan telah mengesahkan itu adalah anaknya,” kata Encik Abdul Aziz.
Beliau berkata mayat remaja itu dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Bapa mangsa, Mohammad Azzam Naim, turut menzahirkan rasa syukur yang mayat anaknya itu sudah ditemui.
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Putra Perdana malam ini,” katanya.
ANGGOTA BOMBA DAN PENYELAMAT PATUHI SOP
Semalam (3 Okt), operasi mencari dan menyelamat remaja itu bertukar menjadi tragedi lebih besar apabila enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid, berkata meskipun keadaan gelap, operasi SAR tetap diteruskan menggunakan kaedah menyelamat di permukaan air berikutan paras air yang tidak dalam.
“Semakan kita mendapati dari segi SOP dan strategi, mereka telah patuhinya. Kalau kerja-kerja yang dirancang, memang kita boleh hentikan, tetapi bagi kerja-kerja yang melibatkan nyawa orang yang sedang dicari, kita perlu melihat keadaan. Kalau keadaan mengizinkan, kita buat juga kerja pada waktu malam.
“Selalu orang mempersoalkan kenapa perlu menyelam ketika waktu malam, tetapi kita tidak menyelam, kita membuat ‘surface water rescue’ kerana air tidak dalam, hanya paras dada,” katanya kepada pemberita.
Encik Mohammad Hamdan bagaimanapun berkata pihaknya akan meneliti SOP itu secara terperinci agar ia boleh diperbaiki pada masa akan datang bagi mengelak tragedi seperti itu daripada berulang.
Sementara itu, siasatan awal di tempat kejadian malam tadi (3 Okt) mendapati ia adalah kawasan pengawalan air banjir dan tidak sesuai untuk sebarang kegiatan rekreasi.
“Kawasan itu ada terjunan air, dan di kaki terjunan air itulah mereka buat operasi SAR kerana dipercayai mangsa yang dicari mungkin berada di situ. Ketika mereka menuju ke arah terjunan air itu, arus di bawah kuat dan difahamkan di bawah itu ada batu-batu yang diletak untuk memecahkan air, jadi kita percaya mereka mungkin terpijak atas batu itu.
“Disebabkan arus bawah yang kuat, seorang daripada penyelamat kita tergelincir bersama pegawai yang lain sebab mereka buat searching menggunakan ‘human chain’ bersama peralatan masing-masing. Mereka berada di dalam air kira-kira 10 minit dan bila dibawa naik ke tebing terus lakukan CPR, namun mereka tidak dapat diselamatkan.
“Kita dapati air tidak dalam, tapi kederasan air kuat disebabkan hujan lebat petang semalam, apapun kita akan jalankan satu lagi siasatan dalaman secara terperinci,” katanya.
Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34 tahun; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32 tahun; Mazlan Omarbaki, 25 tahun, dan Yahya Ali, 24 tahun, sementara dua lagi mangsa dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikenali sebagai Adnan Othman, 33 tahunm dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.