Mayat lelaki ditemui dalam ruang simpanan tayar pesawat di KLIA masih belum dikenal pasti
Mayat seorang lelaki yang ditemui dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Ogos lalu masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar (kanan) bersama Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu (23 Sep). (Gambar: BERNAMA)
- Polis Selangor masih belum mengenal pasti mayat lelaki yang ditemui dalam ruang simpanan tayar pesawat di Terminal 2 KLIA pada 27 Ogos.
- Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata tiada maklumat baharu diterima setakat ini untuk membantu mengesahkan identiti mangsa.
- Polis turut menyiasat bagaimana lelaki itu boleh berada di ruang tersebut, sambil mengakui kejadian seumpama ini pernah berlaku sebelum ini.
- Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga hilang atau belum pulang diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu melengkapkan siasatan.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata setakat ini, tiada maklumat lanjut yang dapat membantu polis mengesahkan identiti lelaki tersebut.
"Setakat ini tiada individu yang tampil memberi maklumat. Sekiranya ada ahli keluarga yang masih belum pulang atau hilang boleh berhubung di balai polis berhampiran untuk kami lengkapkan siasatan.
"Identiti mayat itu juga masih belum dapat ditentukan," katanya dalam satu sidang media pada Rabu (23 Sep).
Menurut Encik Shazeli, polis juga masih menyiasat bagaimana lelaki berkenaan boleh berada dalam ruang simpanan tayar pesawat tersebut.
Beliau berkata kejadian sedemikian pernah berlaku sebelum ini, namun polis tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sebelum siasatan selesai.
"Ini bukan kes pertama, pernah berlaku sedemikian rupa iaitu individu dijumpai di tempat simpanan tayar. Saya tidak mahu beri kesimpulan kerana dibimbangi tersasar. Kita tunggu hasil siasatan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang masih belum pulang atau dilaporkan hilang diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.