Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mayat ketujuh mangsa tanah runtuh ditemui, kata polis

Mayat ketujuh mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan sebahagian anggota badan serta kepalanya tercerai daripada tubuh di bawah timbunan tanah pada kedalaman 10 meter.

Anggaran Waktu Membaca:
Mayat ketujuh mangsa tanah runtuh ditemui, kata polis

Sepuluh orang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus di Pulau Pinang pada 19 Oktober. (Gambar: Sangkuriang Penang/Facebook)

Diterbitkan : 22 Oct 2018 12:19PM Dikemas Kini : 22 Oct 2018 12:23PM

GEORGE TOWN: Mayat ketujuh mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan sebahagian anggota badan serta kepalanya tercerai daripada tubuh di bawah timbunan tanah pada kedalaman 10 meter.

Mayat warga Bangladesh, Md Abdul Jalil, 34 tahun, serta kepalanya ditemui pada pukul 4.50 petang semalam (21 Okt) di sempadan sektor dua dan tiga, manakala tangan kiri dan kaki kanan mangsa belum dijumpai.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang, berkata mayat Md Abdul Jalil dicam oleh rakan-rakannya berdasarkan hujung jari kaki kirinya yang melekat.

"Polis percaya mangsa telah dihempap batu besar ketika kejadian sehingga menyebabkan kepala dan anggota badannya terpisah,” kata ACP Che Zaimani kepada para wartawan di tempat kejadian.

OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT MASUK HARI KEEMPAT

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu disambung hari ini (22 Okt).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar, berkata operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini bermula pada 8.00 pagi selepas ditangguhkan pada 7.00 malam semalam (21 Okt).

Beliau berkata operasi SAR pada hari ini memberi tumpuan kepada mencari kontena ke-13, yang dipercayai berada di sektor 2 yang terbenam kira-kira 20 meter dalam runtuhan tanah.

"Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) membuat pemeriksaan pada 7.00 pagi tadi dan keadaan di kawasan tanah runtuh selamat untuk menjalankan operasi SAR.

"Keadaan tanah stabil dan berharap cuaca baik untuk pasukan penyelamat melaksanakan operasi SAR hari ini," kata beliau.

Encik Saadon berkata operasi SAR juga akan dipantau oleh JMG bagi memastikan keadaan sentiasa selamat dan tiada pergerakan tanah, bagaimanapun operasi akan dihentikan serta-merta sekiranya hujan.

"Hujan itu bukan hanya dikira di kawasan tanah runtuh sahaja tetapi jika hujan di kawasan berhampiran terutama di kawasan bukit, operasi SAR akan dihentikan kerana akan berlaku aliran air yang kemungkinan boleh masuk ke kawasan cerun di tanah runtuh ini dan menyebabkan berlaku pergerakan tanah," katanya.

Beliau berkata kira-kira 100 anggota dan pegawai pasukan penyelamat dari pelbagai agensi serta jabatan terlibat dalam operasi SAR itu.

Sehingga kini, kejadian tanah runtuh yang dilaporkan pada 1.56 tengah hari Jumaat lalu (19 Okt) menyebabkan tujuh pekerja asing maut, empat cedera manakala tiga lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah yang menimbuskan kontena serta rumah kongsi pekerja binaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Mereka yang ditemui maut setakat ini adalah dua lelaki warga Indonesia, empat lelaki warga Bangladesh serta seorang wanita warga Myanmar.   

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan