Mayat 3 pendaki Perancis ditemui di pergunungan Himalaya
Sebuah pasukan penyelamat di Nepal menemui mayat tiga pendaki warga Perancis yang hilang di daerah Gunung Everest di negara Himalaya itu hampir dua minggu lalu, menurut polis pada Isnin (8 Nov).
(Gambar: AFP/Kailash Mountain Services)
KATHMANDU: Sebuah pasukan penyelamat di Nepal menemui mayat tiga pendaki warga Perancis yang hilang di daerah Gunung Everest di negara Himalaya itu hampir dua minggu lalu, menurut polis pada Isnin (8 Nov).
Ketiga-tiga pendaki itu cuba mendaki gunung Kantega setinggi 6,783 meter, iaitu sebuah puncak gunung lebih kecil yang terletak berhampiran Gunung Everest di daerah Solukhumbu yang terpencil.
Mereka terputus hubungan dengan pihak penganjur ekspedisi sejak 26 Oktober, apabila berlaku runtuhan salji di kawasan itu.
"Sebuah pasukan penyelamat gunung menemui ketiga-tiga mayat di kawasan itu," kata pegawai polis Tarka Raj Pandey kepada Reuters. "Kesemua identiti mayat itu sudah dikenal pasti."
Encik Pandey berkata kesemua mayat itu dibawa ke Lukla, iaitu laluan masuk ke Gunung Everest dan bandar terbesar di daerah Solukhumbu, di mana terletaknya gunung tertinggi di dunia. Kesemua mayat itu akan dibawa ke ibu negeri Kathmandu bagi bedah siasat.
Lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia termasuk Gunung Everest terletak di Nepal.
Wang yang dibelanjakan oleh para pendaki asing merupakan sumber dapatan utama bagi negara-negara miskin yang bergantung pada sektor pelancongan dan pengiriman wang.
Gunung-gunung Himalaya di Nepal, yang ditutup disebabkan penularan koronavirus pada tahun lalu, dibuka semula kepada pendaki asing pada tahun ini, dengan para pendaki secara beransur kembali untuk menawan gunung-ganang di sana.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.