Mayat 2 remaja ditemui di kebun bapa yang bekerja jadi Santa
Polis di selatan Amerika Syarikat sudah menjumpai mayat dua remaja yang ditanam di kebun bapa mereka, yang bekerja sebagai Santa Claus di sebuah pasar raya tempatan.
Elwyn Crocker Jr (kiri) dan Mary Crocker. (Gambar: Pejabat Syerif Effingham)
WASHINGTON: Polis di selatan Amerika Syarikat sudah menjumpai mayat dua remaja yang ditanam di kebun bapa mereka, yang bekerja sebagai Santa Claus di sebuah pasar raya tempatan.
Elwyn Crocker, 49 tahun, dan tiga lagi ahli keluarga diberkas dan didakwa kerana "merahsiakan kematian dan melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak," menurut satu kenyataan oleh pejabat syerif Effingham dekat Savannah, Georgia.
Ujian-ujian forensik dijalankan terhadap kedua-dua mayat, dipercayai Mary Crocker, 14 tahun dan abangnya, Elwyn Crocker Jr, yang mungkin berusia 16 tahun.
Menurut polis, tuduhan tambahan boleh dikenakan setelah identiti, serta cara dan masa kematian disahkan.
Polis sudah menyoal siasat keluarga Crocker pada Khamis lalu (20 Dis) setelah seorang jiran melaporkan bahawa Mary hilang selama berminggu-minggu dan bimbang terhadap keselamatan gadis itu.
Orang dewasa di rumah itu berkata bahawa remaja perempuan itu tinggal bersama ibunya di South Carolina, tetapi keterangan mereka mencurigakan dan polis mengambil keputusan untuk menggeledah kawasan rumah itu.
Mereka kemudian menemui kedua-dua mayat. Mary tidak lagi kelihatan sejak Oktober 2018 dan abangnya pula tidak hadir di sekolah sejak November 2016 semasa dia berusia 14 tahun, menurut laporan polis.
Mereka berdua tidak dilaporkan hilang secara rasmi.
Laporan-laporan media tempatan menyatakan bahawa bapa mereka, Elwyn Crocker, baru-baru ini bekerja sebagai Santa Claus di pasar raya Walmart.
Dia didakwa bersama isterinya Candice Crocker, 33 tahun, ibu tiri kepada kedua-dua remaja yang dilaporkan hilang itu, ibu mertuanya Kim Wright, 50 tahun, serta teman lelakinya, Anthony Prater, 55 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.