Mayat 2 beradik jatuh ke dalam sungai ditemui
Mayat dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai apabila motosikal ditunggang ibu mereka hilang imbangan semasa melalui jambatan gantung Kampung Rekoh, di Rompin pada Rabu lalu, ditemui semalam dan pagi tadi (30 Apr).

Lambang Polis Diraja Malaysia. (Gambar: Saeed Khan/AFP)
KUANTAN: Mayat dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai apabila motosikal ditunggang ibu mereka hilang imbangan semasa melalui jambatan gantung Kampung Rekoh, di Rompin pada Rabu lalu, ditemui semalam dan pagi tadi (30 Apr).
Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin ASP Mohd Isa Bidin berkata mangsa Dhenis Maulida Puteri Masari, 7 tahun, ditemui sekitar pukul 7.30 malam semalam kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian, manakala adiknya Puteri Ramadhania Azzahra, 3 tahun, ditemui kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
"Kedua-dua mangsa ditemui oleh orang kampung berkenaan dalam keadaan terapung dengan mayat Puteri Ramadhania Azzahra dijumpai kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi itu, ibu mereka yang hanya dikenali sebagai Liswati, 37 tahun, dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan itu selepas mengambil Dhenis Maulida Puteri di Sekolah Kebangsaan Keratong 1.
Motosikal yang ditunggang mereka dikatakan hilang imbangan kira-kira lima meter lagi menuju ke tebing menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh, sebelum dua mangsa kanak-kanak itu terjerumus ke dalam sungai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.