Skip to main content

Dunia

Masyarakat Siam Kelantan hidup harmoni di Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Siam Kelantan hidup harmoni di Malaysia

(Gambar: Persatuan Siam Kelantan)

TUMPAT: Masyarakat minoriti Siam Kelantan tidak pernah berasa terasing atau terpinggir dalam menjalani kehidupan bersama komuniti Melayu di Malaysia.

Malah perpaduan kaum yang utuh sejak sekian lama terus diperkukuhkan.

Pengerusi Persatuan Siam Kelantan Pim Chau Dam berkata asimilasi budaya yang sudah sebati dan berakar umbi sejak zaman nenek moyang menjadikan mereka seperti bersaudara.

Beliau berkata masyarakat Siam di Malaysia bukan sahaja fasih menggunakan dialek Kelantan, malah masakan dan cara hidup mereka juga tidak jauh beza dengan masyarakat Melayu.

"Keharmonian sebeginilah yang patut kita kekalkan selamanya sepertimana kita mahu mengekalkan kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara sejak 66 tahun lepas.

"Keamanan yang sedang kita kecapi ketika ini sesuatu yang tidak ternilai harganya dan perlu sentiasa dipertahankan kerana jika negara bergolak semua akan menerima tempiasnya," katanya ketika ditemui Bernama di Tumpat, Kelantan pada Ahad (10 Sep).

Menurut Encik Pim, terdapat kira-kira 22,000 penduduk Siam di seluruh Kelantan dengan jumlah tertinggi di Tumpat iaitu 12,000 orang.

Mereka juga tidak pernah berdepan masalah untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

Encik Pim yang menetap di Kampung Terbak, Tumpat, memaklumkan terdapat 12 kuil yang menjadi tempat ibadat seharian masyarakat Siam yang lazimnya berlangsung dengan aman dan harmoni. 

"Kami tidak pernah rasa asing, sebaliknya kemesraan dan hubungan baik dengan masyarakat Melayu sangat erat tanpa sebarang prejudis. Kami sama-sama menghormati dan menjunjung tinggi Perlembagaan negara," katanya.

Selain itu, Encik Pim berkata ramai dalam kalangan orang Siam khususnya di sekitar Tumpat juga memiliki nama panggilan Melayu seperti Mat, Pak Ali dan Pak Daud sehingga mereka lebih dikenali dengan nama tersebut berbanding nama asal.

Dalam pada itu, Encik Pim memaklumkan pelbagai aktiviti dilakukan masyarakat Siam bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan kali ini.

Ia termasuk konvoi berbasikal mengelilingi Tumpat sambil mengibarkan Jalur Gemilang, selain pertandingan lagu patriotik.

Menurutnya, sebagai negara yang berbilang kaum, masyarakat Siam turut memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan sedia ada.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita