Skip to main content

Dunia

Masyarakat, jemaah ratapi pemergian pengawal keselamatan masjid San Diego

Anggaran Waktu Membaca:
 Masyarakat, jemaah ratapi pemergian pengawal keselamatan masjid San Diego

Orang ramai berdakapan di tapak kejadian di luar Pusat Islam San Diego, 18 Mei 2026. (Gambar: AP/Gregory Bull)

Diterbitkan : 20 May 2026 06:57AM Dikemas Kini : 20 May 2026 07:06AM
LOS ANGELES: Salah seorang daripada tiga mangsa yang maut akibat ditembak oleh dua remaja di sebuah masjid di San Diego adalah seorang pengawal keselamatan yang sangat disayangi.

Beliau bertindak pantas bagi mencegah lebih ramai mangsa terkorban, menurut pihak berkuasa dan anggota masyarakat di sana.

Amin Abdullah ialah seorang pengawal keselamatan yang sentiasa menyambut sesiapa sahaja yang datang ke Pusat Islam San Diego dengan senyuman dan ucapan salam dalam bahasa Arab, iaitu "as-salamu alaikum", kata Mahmood Ahmadi, seorang jemaah yang sudah lama berkunjung ke masjid itu.

Pihak berkuasa masih belum mendedahkan nama ketiga-tiga mangsa. Bagaimanapun, seorang rakan keluarga, Shaykh Uthman Ibn Farooq, mengesahkan identiti Encik Amin dan memberitahu beliau sudah bercakap dengan salah seorang anak lelaki Abdullah ketika keluarga itu menguruskan pengebumiannya.

"Beliau mahu mempertahankan orang yang tidak bersalah, jadi beliau memutuskan untuk menjadi seorang pengawal keselamatan," kata Shaykh Uthman.

Encik Amin sudah bekerja di masjid itu selama lebih sepuluh tahun. Beliau berada di sana hampir setiap hari dan sangat bertanggungjawab terhadap isteri serta sembilan orang anaknya, kata Shaykh Uthman.

Ketua Polis San Diego, Scott Wahl, menyatakan bahawa seorang pengawal keselamatan masjid - tanpa menyebut nama Encik Amin secara langsung - "memainkan peranan yang sangat penting" dalam menghalang serangan itu daripada menjadi lebih dahsyat.

"Tindakannya memang boleh dianggap sebagai seorang wira," kata ketua polis itu pada Isnin (18 Mei). "Tanpa ragu-ragu lagi, beliau telah menyelamatkan banyak nyawa hari ini."

Pusat Islam San Diego merupakan antara masjid terbesar di San Diego dan menarik kehadiran beribu-ribu orang dari seluruh wilayah tersebut semasa sambutan perayaan utama. Selain menawarkan solat lima waktu, masjid itu juga menyediakan hidangan berbuka puasa dan bersahur sepanjang bulan Ramadan, mengendalikan sekolah pengajian bahasa Arab dan Islam, serta mempunyai sebuah kedai di dalamnya.
Related article image
Orang ramai berdakapan di tapak kejadian di luar Pusat Islam San Diego, 18 Mei 2026. (Gambar: AP/Gregory Bull)
Encik Amin dibesarkan dalam keluarga Kristian. Dalam sebuah video YouTube pada 2019, beliau pernah menceritakan perjalanannya mengenali agama Islam selepas tamat sekolah menengah.

"Ibu saya melihat perubahan pada diri saya," katanya. "Saya mula membantu kerja-kerja rumah, menjadi lebih menghormati orang tua, dan saya juga mendapat pekerjaan."

Shaykh Uthman berkata beliau mengenali Encik Amin tidak lama selepas rakannya itu memeluk Islam pada tahun 1990-an. Baru-baru ini, mereka menunaikan ibadah umrah bersama-sama di Makkah. Encik Amin sentiasa bersikap positif, walaupun beliau jatuh sakit semasa dalam perjalanan tersebut, kata Shaykh Uthman.

"Walaupun ketika beliau berasa kurang sihat, beliau tetap seorang yang sangat ceria, ikhlas, sentiasa tersenyum, dan sentiasa menjaga kebajikan orang lain," kata Shaykh Uthman.

Josie-Ana Edenshaw masih ingat lagi kali pertama beliau bertemu Encik Amin semasa kunjungan pertamanya ke masjid itu. Beliau berasa tertekan kerana tidak tahu di mana mahu meletakkan kenderaan, lalu Encik Amin melambaikan tangan untuk membantunya.

Cik Edenshaw berkata seluruh masyarakat di sana sangat sedih dengan pemergian Encik Amin.

Dalam sebuah kumpulan WhatsApp jemaah masjid, seorang guru yang berada di sekolah berkenaan semasa kejadian tembakan berlaku menceritakan bagaimana Encik Amin menjerit kepada "penembak" melalui walkie-talkie miliknya apabila beliau ternampak penyerang tersebut. Tindakan itu berjaya memberi amaran kepada kakitangan dan guru-guru di dalam bangunan. Guru berkenaan bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk diwawancara.

"Setiap hari, kanak-kanak di sini mempunyai seorang pengawal keselamatan luar biasa yang melindungi mereka," kata Cik Edenshaw. "Perkara itu akan memberi kesan mendalam sepanjang seumur hidup mereka."

Abbos Rakhmatov, yang mengunjungi masjid itu selama tiga tahun, berasa trauma kerana beliau berada di sana pada sebelah pagi, sejurus sebelum kejadian tembakan berlaku. Beliau berkata Encik Amin sangat serius dalam menjalankan tugasnya, sentiasa meronda dan memeriksa kawasan sekitar.

"Beliau seorang peran contoh bagi kami semua," kata Encik Abbos. "Sentiasa tersenyum dan sentiasa mengambil berat tentang masyarakat kami."
Sumber : AP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita