Skip to main content

Dunia

Masyarakat Islam Yogyakarta meriahkan malam Raya dengan takbir berirama tekno, gendang, xilofon

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Lain orang lain caranya menyambut dan meraikan Hari Raya Aidiladha.

Ada yang sederhana, ada yang meriah sekampung!

Di Yogyakarta, Indonesia misalnya malam Raya disambut meriah dengan takbir Raya lain daripada yang lain.

Pernah anda dengar takbir Raya versi tekno?

Itulah yang dilakukan oleh sekumpulan anak muda di daerah Wonosari, Gunung Kidul di Yogyakarta.

Sejurus selepas Isyak pada Rabu (28 Jun), anak-anak muda di daerah itu keluar menaiki lori yang lengkap dengan pembesar suara dan lampu-lampu.

Takbir Raya yang dimainkan pula berirama tekno. Malah, ada juga versi tekno dangdut!

Ini jelas dapat dilihat menerusi video yang dikirimkan oleh seorang pembaca BERITAmediacorp, yang sedang berada di sana.

Menurut beliau, yang hanya ingin dikenali sebagai Zack, sambutan sedemikian adalah tradisi tahunan penduduk di sana.

Lori tersebut akan berhenti di satu-satu tempat buat seketika sebelum bergerak untuk ke tempat yang lain pula, tambah beliau.

Umat Islam di Indonesia sebahagian besarnya menyambut Aidiladha pada hari yang sama dengan Singapura, iaitu 29 Jun.

Sekalipun demikian, sebahagian masyarakat Islam yang mengikuti pertubuhan Islam berpengaruh di Indonesia, iaitu Muhammadiyah, menyambut Aidiladha pada Rabu (28 Jun).

Mereka juga memeriahkan suasana malam Raya, yang jatuh pada Selasa (27 Jun).

Para pengikut Muhammadiyah di bahagian utara bandar Yogyakarta mengadakan perarakan sambil bertakbir.

Takbir mereka pula diiringi bunyi gendang dan xilofon!

Menerusi video perkongsian Encik Zack, dapat dilihat kanak-kanak dan belia yang berpakaian seragam berarak membawa bendera Indonesia dan Muhammadiyah. Diikuti dengan kenderaan berhias dan motosikal di bahagian belakang.

Hakikatnya, tradisi menggamatkan suasana malam-malam tertentu seperti malam Raya bukan sesuatu yang asing di Indonesia. Antaranya, malam-malam Ramadan untuk mengejutkan orang bangun sahur dan malam Hari Raya Aidilfitri.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita